14
Kha, Dis
882 ARTIKEL BARU

#PAU2017 : Tempur Habis-Habisan Hadapi ‘Bapa Segala Pilihanraya’ - Najib

Politik
Typography

KUALA LUMPUR – UMNO akan bertempur habis-habisan pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) yang disifatkan sebagai ‘Bapa Segala Pilihanraya’ tahun hadapan.

Namun begitu dalam masa yang sama tegas Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak, setiap ahli parti keramat orang Melayu itu perlu berpijak di bumi yang nyata.

“Dalam keriuh-rendahan gelombang merah, dalam pada kita berasa asyik dan yakin dengan semangat yang berkobar-kobar,... jika sedemikian getarannya,... inilah detik-detik yang amat menyenangkan bagi kita semua.

“Namun, pada masa yang sama, Saya ingin mengajak kita semua, untuk kembali berpijak di bumi yang nyata. Walau apapun,... sebagaimana dipesan orang tua-tua, sebelum kita melangkah lebih jauh lagi, kita harus sentiasa bermuhasabah diri dan parti, menyorot serta menampar ‘pipi-pipi’ perjuangan ini, seraya segera bangkit dari comfort zone, yang selama ini membikin kita alpa dan lalai.

“Pucuk pangkalnya, dalam persidangan semustahak ini, kita tidak boleh setakat bercakap perkara manis-manis sahaja kerana, bak dipesan oleh Bapak Hamka, jika hidup ini antara pahit dan manis, maka perjuangan itu juga, antara kemenangan dan pengorbanan, antara keringat serta air mata,” katanya.

Beliau berkata demikian di dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017) di PWTC, hari ini.

Tambah Najib, apa yang penting ketika ini adalah setiap ahli dan jentera parti itu perlu sentiasa berwaspada dan berada dalam kesiapsiagaan.

Ini katanya bagi menghadapi PRU14 yang begitu genting cabarannya.

“Peri-pentingnya,... ahli-ahli dan jentera parti, hendaklah selalu berwaspada dan berada dalam mode kesiap-siagaan kerana,... tak berapa lama lagi, kita akan menempuh satu episod pilihanraya yang Ter-Genting lagi berkemuncak cabarannya,...

“Bukan sahaja kepada bangsa Melayu Bumiputera,... UMNO dan Barisan Nasional,... Kestabilan serta Kedaulatan Negara,... masa depan Syiar Islam,... bahkan yang terpenting adalah,... nasib anak cucu keturunan kita, agar tidak melarat dek untung, tersungkur merempat di tanah sendiri,” katanya.

Menurut beliau, inilah hakikat yang berlaku ketika ini di mana orang Melayu berada di celah-celah kekeruhan dan persimpangan percarian umat melayu, yang ketika ini, sedang berpecah kepada pelbagai kumpulan dan fahaman politik dalam menentukan arah kompas perjuangannya.

“Justeru, kita patut berasa syukur serta bertuah kerana, dengan izin allah hu ta’ala, masih lagi kekal berada dalam sebuah jemaah yang kukuh lagi berpadu, yakni pertubuhan kebangsaan melayu bersatu,” katanya di hadapan perwakilan UMNO dari seluruh negara.

Tambah Najib, realitinya UMNO telah terbukti sebagai satu-satunya parti yang masih tangguh dan bertahan teguh, dalam membela kepentingan orang-orang Melayu Bumiputera serta rakyat Malaysia, dan kekal sebagai Pe-Tunjang Utama, kepada parti komponen Barisan Nasional.

“Manakala, inilah detik-detik penentu rakyat malaysia keseluruhannya, agar tidak tersasar arah kompas halatuju dalam menilai dengan matang, bukannya dengan emosi, apatah lagi terpengaruh dengan dakyah-dakyah pihak pembangkang di media-media sosial,” katanya.