14
Kha, Dis
882 ARTIKEL BARU

#PAU2017 : Amanat Presiden Ibarat Azimat Menang Besar PRU14 - Ali Rustam

Politik
Typography

KUALA LUMPUR – Amanat Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah ibarat azimat kepada seluruh ahli parti itu di dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) tahun hadapan.

Menurut veteran UMNO, Tan Sri Mohd Ali Rustam, intipati daripada ucapan dasar Najib itu sekiranya dihayati dengan mendalam mampu untuk memacu UMNO sebagai parti keramat orang Melayu mencapai kemenangan bergaya pada PRU14.

“Amanat presiden kali ini seperti azimat jika diguna pakai kita boleh berjaya dengan baiknya mencapai kemenangan dalam PRU14 yang lebih besar. Lebih besar bererti lebih 2/3 majoriti.

“Kerana beliau telah menunjukkan dengan jelas kaedah peperangan, setia kepada jeneral dan metodologi yang telah ditunjukkan cara-cara yang patut kita laksanakan dan juga bahan-bahan yang patut kita pergunakan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Selain itu ujar beliau, para perwakilan turut telah ditunjukkan mengenai persepsi negatif pihak pembangkang termasuk fitnah yang telah mereka lemparkan.

“Daripada segi perlembagaan parti juga beliau telah jelaskan kita sentiasa mempertahankan hak semua kaum dan membela hak orang Melayu, agama Islam, Raja-raja melayu di samping tidak mengenepikan hak-hak kaum lain.

“Tapi kalau DAP yang mengetuai pasukan pembangkang, kerjanya tidak mengiktiraf kedudukan orang Melayu, tidak mengiktiraf Islam sebagai agama persekutuan, tidak mengiktiraf hak-hak orang Melayu seperti bidang pendidikan.

“Jadi kita tidak ada pilihan selain daripada memilih UMNO dan BN yang mempunyai rekod membawa perubahan besar kepada negara kita,” katanya.