14
Kha, Dis
882 ARTIKEL BARU

#PAU2017 : Ucapan Dasar Presiden Amat Luar Biasa - Zahid

Politik
Typography

KUALA LUMPUR - Ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak disifsatkan amat luar biasa kerana menyentuh pelbagai segmen bagi memastikan parti itu meneruskan kelangsungannya sebagai wadah perjuangan orang Melayu.

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, secara keseluruhan ucapan dasar Presiden menekankan parti itu sedang berada pada landasan tepat dan fokus untuk mencipta kemenangan pada PRU ke-14 tahun hadapan.

“Ucapan dasar ini sesuatu di luar jangkaan para perwakilan kerana terangkuman ucapan ini meletakkan kesepaduan jentera parti bagi mengelakkan kita berada di persimpangan.

“Secara peribadi saya memerhatikan ada tujuh segmen penting dalam ucapan Presiden selain beberapa fakta telah dihamparkan kepada khalayak khusunya untuk ahli UMNO.

“Saya lihat semua segmen ini memberi tumpuan perang besar yang akan kita hadapi iaitu ibu segala pilihanraya pada tahun hadapan dan genderang perang akan dipukul oleh Presiden untuk disambut oleh kita mendapatkan kejayaan pada pilihanraya nanti,” katanya. 

Katanya yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, keupayaan UMNO membela dan membangunkan sosio ekonomi dan taraf hidup orang Melayu akan menjadi penanda aras terhadap segala keras yang telah dilaksanakan parti itu.

“Masalah yang kedua kita hadapi iaitu masalah sosio ekonomi rakyat khususnya orang Melayu dan ini melibatkan pencapaian serta landasan untuk melihat rekod BN dan beliau sendiri,” ujarnya.

Sejak mengambil alih tanggungjawab sebagai Presiden UMNO daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, Najib ujar Zahid telah berjaya menggarap semula semangat perpaduan yang utuh di kalangan pemimpin dan ahli parti keramat Melayu itu.

“Kesinambungan UMNO daripada Pak Lah telah diteruskan dengan langkah mentransformasikan, memperkasakan kesepaduan UMNO oleh beliau.

“Kita kena bergerak dalam satu pasukan, bergerak dalam penuh keyakinan, dan pertaruhkan perjuangan ini dengann rasa penuh ketaqwaan.

“Melihat kesiapsiagaan jentera pilihanraya di mana UMNO mengetuai BN, jalinan kerjasama bukan sahaja jentera UMNO, tapi BN itu sendiri dan harus diterjemahkan dengan usaha keras kita bagi memperolehi kejayaan pada PRU ke-14 nanti,” kata Timbalan Perdana Menteri itu.