19
Jum, Jan
674 ARTIKEL BARU

Apa Sebenarnya Yang Mahu Diselamatkan PH? - Zein Isma

Politik
Typography

SUBANG – Ketua Penerangan UMNO Selangor, Dato Zein Isma Ismail mempersoalkan apakah sebenarnya yang mahu diselamatkan oleh Pakatan Harapan (PH) di negara ini.

Menurut beliau, ia memandangkan segala tuduhan yang dilontarkan kepada kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah terjawab dengan jelas. 

Ujarnya, slogan pembangkang yang kononnya mahu menyelamatkan Malaysia sudah tidak lagi relevan memandang segala isu yang mereka bangkitkan itu terbukti tidak benar dan hanya bersifat fitnah serta tohmahan semata-mata.

“Saya nak tanya pembangkang, apa yang mereka mahu selamatkan? Adakah Malaysia di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh Datuk Seri Najib Tun Razak mahu bankrap? Apakah rakyat di negara ini hari ini melarat dan tidak cukup makan? Adakah projek-projek kerajaan semuanya terbengkalai? Atau kakitangan kerajaan tidak dapat gaji kerana kerajaan tidak ada duit untuk membayar gaji?

“Semua itu tidak pun berlaku dalam pemerintahan kerajaan hari ini. Malah, kerajaan masih mampu untuk membayar bonus kepada kakitangan kerajaan serta meneruskan projek-projek pembangunan infrastruktur dan modal insan untuk keselesaan rakyat untuk hari ini dan akan datang.

“Bahkan ringgit Malaysia juga kini semakin pulih mencecah ke RM3.99 yang secara tak langsung memperlihatkan kenyataan seorang pemimpin veteran pembangkang,  kononnya ringgit hanya akan pulih setelah Datuk Seri Najib letak jawatan hanya cuma mahu memperbodohkan rakyat sahaja. 

“Begitu juga rezab negara yang berada dalam keadaan yang kukuh dan kini telah mencecah RM425.6 bilion (AS$94.9 bilion) setakat 15 Mac 2017 ini.

“Jadi jelas, segala dakwaan yang dikatakan oleh pembangkang itu hanyalah mitos fantasi dan cerita-cerita bohong untuk mempengaruhi persepsi rakyat. Sedangkan hakikatnya, ia tidak begitu dan rakyat boleh melihat fakta ini dengan mata kepala mereka sendiri dalam kehidupan seharian,” tegasnya.