19
Rab, Dis
7 ARTIKEL BARU

Salahuddin Cadang PH Bincang Semula Pembahagian Kerusi

Politik
Typography

KUALA LUMPUR -  Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub mencadangkan platform Pakatan Harapan (PH) digunakan untuk berbincang mengenai pembahagian kerusi susulan wujud ketidakpuasan hati beberapa kumpulan dan individu dalam parti berkenaan mengenainya.

Salahuddin berkata, dua perkara akan dibawa ke meja rundingan iaitu mengatur semula kerusi yang dirasakan boleh menjadi faktor kemenangan dan berbincang mengenai kerusi negeri.

“Rundingan mengenai pengagihan kerusi ini kita bincang dari semua aspek seperti faktor kemenangan, kekuatan parti, sokongan pengundi dan kekuatan jentera. Semua ini kita adunkan dan kita bincang dalam menentukan kerusi.

“Jalan penyelesaian kepada situasi sekarang adalah melalui PH iaitu kita atur balik kerusi yang kita rasa boleh berbincang tentang faktor kemenangan dan masih ada kerusi-kerusi negeri masih dalam proses rundingan. Masih ada jalan keluar dan dapat kita selesaikan,” katanya dipetik Sinar Harian.

Dilaporkan, PAN Johor pada Ahad lalu memboikot Konvensyen Pakatan Harapan 2018, kerana parti itu hanya mendapat dua kerusi di Johor.

Manakala, Pengarah Pilihanraya PAN, Dr Hatta Ramli didakwa meletak jawatan sebagai Pengerusi PAN Wilayah Persekutuan selepas tidak diberikan kerusi parlimen Titiwangsa, namun dinafikan beliau.

Manakala PAN Kuala Lumpur juga menyifatkan Ahad, 7 Januari  sebagai hari duka kerana tidak mendapat 12 parlimen di Kuala Lumpur.

Salahuddin berkata, beliau menghormati pendirian PAN Johor dan sesetengah individu yang rasa kecewa dalam soal pembahagian kerusi.

“Itu hak mereka dan kekecewaan mereka kerana PAN ditubuhkan di Johor tetapi hanya dua kerusi diperuntukkan kepada PAN.

“Biar mereka lahirkan rasa ketidakpuasan hati, namun tindakan mereka untuk tidak hadir ke Konvensyen Pakatan Harapan tidak akan membawa kepada timbul usaha meruntuhkan PH  yang telah dibina selama ini.

"Kita akan berusaha mencari jalan-jalan perbincangan dalam PH,” katanya.

Jelasnya, ketidakpuasan hati tersebut masih berada dalam kerangka demokrasi dan tidak akan menjurus kepada perpecahan dalam PAN.

“Saya rasa, kita perlu ambil pendekatan positif kerana mereka hanya suarakan pandangan agar didengari.

 

"Pimpinan peringkat nasional akan ambil daya usaha supaya perkara itu dapat dibincangkan secara harmoni atas semangat dalam PH,” katanya.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.