21
Ahd, Jan
700 ARTIKEL BARU

Rafizi Diberi Tempoh Hingga Jumaat Minta Maaf Kepada Abdul Rahman

Politik
Typography

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli diberi tempoh sehingga Jumaat ini untuk menarik balik kenyataannya yang menuduh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan memberikan kontrak Ekspo Negaraku 2017 kepada abangnya.

Selain itu, Rafizi juga dituntut supaya menerbitkan permohonan maaf kepada Abdul Rahman.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Abdul Rahman memberitahu beliau akan mengarahkan peguamnya untuk memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi sekiranya ahli Parlimen Pandan itu gagal berbuat seperti yang dituntut.

“Setelah meneliti pandangan undang-undang yang telah diberikan oleh peguam saya, saya telah mengarahkan peguam saya untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Rafizi.

“Lanjutan daripada itu, peguam saya, Tetuan Raja Riza & Associates telah mengeluarkan surat tuntutan bertarikh 05.01.2018 kepada Rafizi Ramli melalui serahan secara pos berdaftar dan secara serahan ke diri pada hari yang sama.

“Walaubagaimanapun, serahan secara kediri pada hari tersebut gagal berikutan Rafizi tiada di pejabatnya di Pusat Khidmat Parlimen Pandan.

“Cubaan serahan secara ke diri buat kali kedua telah dilakukan semalam 08.01.2018 di alamat yang sama. Namun, Rafizi Ramli masih tiada di pejabatnya. Oleh yang demikian, surat tuntutan tersebut telah diterima oleh Mohd Shariffudin dipercayai kakitangan di Pusat Khidmat Parlimen Pandan tersebut. 

“Surat tuntutan tersebut menuntut antara lainnya supaya Rafizi menarik balik kenyataan beliau tersebut dan menerbitkan permohonan maaf terhadap saya dalam tempoh 7 hari dari tarikh surat tuntutan tersebut.

“Saya telah dinasihatkan oleh peguam saya bahawa tempoh surat tuntutan tersebut masih belum matang. Sekiranya Rafizi gagal untuk mematuhi surat tuntutan tersebut dalam tempoh masa yang telah ditetapkan, saya akan mengarahkan  peguamcara saya untuk memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi Ramli,” katanya.

Rafizi sebelum ini menuduh Abdul Rahman telah memberikan kontrak Ekspo Negaraku 2017 kepada abangnya yang bernama Raslan Dahlan melalui syarikat PICO Intergrated Exhibit (M) Sdn Bhd.

Dakwaan tersebut kemudiannya dinafikan Abdul Rahman yang turut mendedahkan beliau tidak mempunyai abang bernama Raslan Dahlan seperti yang dituduh Rafizi.