20
Rab, Jun
83 ARTIKEL BARU

Tun M Hanya Akan Ulang Kesilapan Lampau – Zahid

Politik
Typography

KUALA LUMPUR – Keputusan Pakatan Harapan (PH) untuk melantik Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri jika memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) boleh menjurus negara kepada kerosakan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau, dalam nada berseloroh menyifatkan resolusi itu sebagai "tepat" kerana pembangkang akan memberi peluang kepada "tokoh" berkenaan mengulangi kesilapan yang pernah dilakukannya selama 22 tahun berkuasa.

"Resolusi dibuat pakatan pembangkang dalam perhimpunan mereka adalah resolusi yang tepat, cukup baik dan kena pada tempatnya.

"Tokoh itu adalah tokoh yang cukup berjasa kepada negara selama 22 tahun dan insya-Allah kalau beliau akan diberikan tempatnya semula, kesalahan dahulu akan diulangi semula oleh beliau.

"Itu adalah satu kitar semula yang memang sedang ditunggu-tunggu oleh rakyat untuk melihat bahawa tidak ada tokoh lain lebih layak dalam pakatan pembangkang selain daripada tokoh yang cukup berjasa kepada negara itu untuk terus melakukan kerosakan dan kebejatan kepada negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Pencegahan Jenayah Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 2018 bertema Pemangkin Generasi Bebas Jenayah anjuran Kelab Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan; Naib Presiden Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye; Pengerusi Jawatankuasa Induk konvensyen, Bok Siew Mun dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim.

 

Ahmad Zahid mengulas resolusi konvensyen pembangkang Ahad lalu yang bersetuju melantik Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri jika memenangi PRU-14.