19
Rab, Dis
7 ARTIKEL BARU

PKR Tiada Hala Tuju, Wajar Dibubar - Tiong Lai

Politik
Typography

KUALA LUMPUR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah tidak relevan lagi wajar dibubarkan, tegas Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Ini kerana katanya parti itu sanggup menerima pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri untuk mewakili Pakatan Harapan (PH).

Justeru itu ujar beliau parti  itu wajar dibubarkan memandangkan PKR sudah 'menjual' prinsip perjuangan mereka iaitu membela ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ya (patut bubar) memang kita rasa dia tak ada prinsip, sebuah parti yang tiada pegangan, tiada hala tuju.

"(Kini) Mereka telah bersama-sama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), dari sebuah parti baru wujud, sekarang jadi parti terbesar dalam PH.

"Tiada relevan lagi wujudnya PKR lagi. Tiada lagi asas perjuangan mereka, apa asasnya wujudnya PKR, kerana perjuangan PKR hanya seorang diri, hanya untuk Anwar Ibrahim," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Laman Web MCA School of Political Studies di Wisma MCA, di sini, hari ini.

PH pada Ahad lepas sebulat suara menamakan Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri.

Mengulas lanjut, Tiong Lai berkata PKR dan PH kini sudah dirampas sepenuhnya oleh Mahathir apabila berjaya meyakinkan pemimpin pembangkang untuk menaikkan beliau semula sebagai calon perdana menteri.

"Dulu dia reformasi, sekarang ini dia sudah direformasikan oleh Mahathir. Apa yang kita tengok sekarang Mahathir sudah 'hijack' PKR dan 'hijack' keseluruhan Pakatan Harapan.

"Sekarang mereka sudah gadaikan PKR kepada PPBM. PPBM pula sekarang yang memimpin kesemua Pakatan Harapan," katanya.

 

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.