20
Rab, Jun
83 ARTIKEL BARU

Skandal Terowong Dasar Laut : SPRM Serbu Tujuh Lokasi di Pulau Pinang

Politik
Typography

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya mengambil sejumlah dokumen bagi membantu siasatan dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang dalam serbuan di tujuh lokasi di Pulau Pinang.

Media melaporkan, serbuan dibuat di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, pejabat Tanah dan Galian serta pejabat Jabatan Penilaian di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar); pejabat Jabatan Kerja Raya di Sungai Pinang; pejabat syarikat pemaju Ewein-Zenith di Menara Boustead; pejabat 555 Capital Diamond Valley dan pejabat Konsortium Zenith.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dipetik berkata, serbuan tersebut dibuat berdasarkan maklumat baharu yang diperoleh pihaknya manakala kesemua dokumen yang diambil pula yang mempunyai kaitan dengan projek Terowong Dasar Laut tersebut.

“Dokumen yang diambil akan diteliti untuk pastikan siasatan menyeluruh dapat dilakukan. Kita juga akan memanggil beberapa saksi dalam masa terdekat,” katanya dipetik media tempatan.

Pada 5 Januari lalu, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan membuat laporan dan menyerahkan bukti baharu di pejabat SPRM Putrajaya berhubung projek kontroversi terowong dasar laut di negeri ini bernilai RM15 bilion.

Menurut beliau, laporan itu ekoran pendedahan terbaharu yang mendakwa kerajaan negeri menganugerahkan projek tersebut kepada syarikat yang mempunyai modal di bawah paras ditetapkan.

Katanya, syarikat yang dianugerahkan projek terowong dasar laut itu didakwa memiliki modal bernilai 1,900 kali ganda lebih rendah daripada paras minimum ditetapkan JKR.

 

Selain itu, tambahnya, kebimbangan juga menjurus kepada kemampuan kewangan syarikat tersebut menyiapkan projek berkenaan yang kini tertangguh selama lebih tiga tahun tetapi sudah menerima bayaran fi daripada kerajaan negeri berjumlah RM220 juta.