20
Sel, Feb
724 ARTIKEL BARU

Tol Malaysia Termurah Di Dunia - Tun Mahathir

Politik
Typography

KUALA LUMPUR - Umpama hilang ingatan itu yang berlaku pada Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan kadar tol negara ini lebih murah berbanding negara lain.

Ini kerana Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu bersama sekutunya menyatakan tol negara ini mahal berbanding negara luar dan mahukan Kerajaan Persekutuan menghapuskan tol.

Bagaimanapun perkara sebaliknya berlaku apabila beliau sendiri menyatakan tol adalah perlu bagi menampung kos penyelenggaraan malah turut membuat perbandingan dengan tol yang dikenakan di Jepun.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata, bayaran tol yang dikenakan di Jepun mencecah RM270 sehala.

“Tol yang dikenakan itu bagi melalui jambatan yang hampir serupa dengan Jambatan Pulau Pinang dan seperti mana yang kita tahu tol di jambatan berkenaan hanya RM7 dan ia tidak pernah naik sekali pun.

“Saya berpendapat walau ada yang mengeluh dengan mengatakan tol terlalu tinggi tetapi sebenarnya pergi balik kita bayar RM7 tetapi di Jepun ‘tol rate’ lebih RM500.

“Kalau tol tak dikenakan langsung sukar nak selenggar lebuh raya utara selatan” katanya dalam Program Policy, Kos Sara Hidup, Jalan Penyelesaian yang disiar melalui Facebook Live beliau.

Ini membuktikan bahawa apa yang diperkatakan oleh pembangkang ingin menghapuskan tol pasti tidak akan berlaku.

Malah tol yang berada dibawah pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor iaitu Tol Sungai Rasau dan Tol Batu Tiga mereka gagal untuk memansuhkannya.

Sebaliknya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2018 menyatakan kerajaan telah mengambil keputusan untuk menghapuskan tol berkenaan demi kepentingan rakyat.

Kedua-dua tol berkenaan pada sepatutnya dijadualkan berakhir ada 31 Disember 2038. Ini berdasarkan satu Perjanjian Konsesi yang disemak semula pada 2011 antara kerajaan dan Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).