23
Sab, Jun
78 ARTIKEL BARU

Mahathir Perlu Jelaskan Pendirian Mengenai ‘Malaysian Malaysia’

Politik
Typography

ALOR SETAR - Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menjelaskan samada beliau kini menyokong konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang didokong DAP atau tidak setelah menjalin kerjasama dengan parti itu.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Hasmuni Hassan, ini kerana pendirian Mahathir sebelum ini berbeza, di mana pada Perhimpunan Agung Umno 1988, Mahathir dalam ucapan dasar Presiden UMNO, mengatakan DAP musuh ketat orang Melayu kerana DAP memperjuangkan konsep ‘Malaysian Malaysia’.

“Mahathir sebut di hadapan perwakilan bahawa DAP adalah parti yang mempraktikkan perkauman. Malah beliau tegaskan DAP menghina orang Melayu serta membuat tuduhan melulu terhadap UMNO dan kerajaan BN,” katanya.

Tambah beliau, konsep ‘Malaysian Malaysia’ itu akan menguasai segala aspek antaranya pendidikan, perniagaan, politik, serta sosial yang akan menyebabkan orang Melayu diketepikan, sama  seperti ketika negara dijajah kuasa asing.

“Apakah Mahathir sudah lupa? Hari ini, parti yang ditubuhkan Mahathir berpakat dengan DAP, malah beliau dipilih sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan, adakah beliau termasuk anaknya, Datuk Seri Mukhriz dan kepimpinan PPBM bersetuju dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’ dibawa  DAP?" katanya.

Hasmuni berkata, rakyat perlu diperjelaskan pendirian Mahathir berhubung ‘Malaysian Malaysia’ kerana beliau pernah menentang idea berkenaan.

“Jelaskan kepada rakyat Malaysia, adakah beliau sudah terima konsep itu, sebagaimana beliau menerima kembali Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng,” katanya.

Menurutnya, Mahathir juga sudah melanggar janjinya untuk tidak mencampuri urusan pentadbiran negara selepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri keempat.

“Beliau pernah maklumkan tidak akan masuk campur urusan politi? dan pentadbiran negara, malah sempat memperli mendiang Lee Kuan Yew dengan kata-kata, ‘saya tak macam orang seberang sana’,” katanya.

Lee Kuan Yew dilantik sebagai Menteri Mentor Singapura selepas meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Singapura.

“Mungkin inilah maksud sebenar Melayu Mudah Lupa dalam sajak Mahathir. Sekarang beliau pula mengepalai Pakatan Harapan menentang BN pada PRU14. Mungkin Ketuanan Melayu tidak lagi relevan dengan perjuangan Mahathir hari ini kerana sudah bertukar menjadi Ketuanan Mahathir,” katanya.

Hasmuni mendakwa apa yang diperjuangkan Bersatu hanya untuk kepentingan Mahathir, bukan Melayu.

“Sebab itu beliau sedikit pun tidak berasa bersalah berpakat dengan Kit Siang dan DAP. Mereka kini saling memuji antara satu sama lain. Mahathir juga sanggup berada di pentas persidangan DAP pada 2016, jelaslah Ketuanan Melayu sudah tiada lagi dalam hati Mahathir,” katanya.