22
Jum, Jun
80 ARTIKEL BARU

DAP Bertegas Mahu Teruskan Projek Terowong Bawah Laut P. Pinang

Politik
Typography

GEORGETOWN - Walaupun berdepan dengan siasatan salah laku atau rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP akan meneruskan pelaksanaan projek terowong bawah laut bagi menghubungkan pulau ini dari Persiaran Gurney dengan tanah besar di Bagan Ajam.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, keputusan itu diambil kerana  kontrak bagi pembinaannya adalah sah dan tender mengenainya diberi melalui persaingan terbuka.

"Melainkan kami diarah oleh mahkamah agar tidak meneruskannya...jika tidak, ia akan diteruskan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, projek itu bukan melibatkan pembinaan terowong sahaja tetapi juga tiga lebuh raya dan menurut beliau laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) mengenainya telah diperoleh.

Tender bagi pembinaan terowong  bawah  laut sepanjang 7.2km dan tiga lebuh raya itu diserah kepada Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd (Zenith), yang mengandungi beberapa syarikat.

Projek itu mencetuskan beberapa kontroversi, termasuk kos kajian kemungkinan yang tinggi dan kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri, yang mendorong beberapa individu membuat laporan kepada SPRM.

Guan Eng berkata, beliau mengarahkan para pegawainya memberi kerjasama penuh kepada SPRM dalam proses penyiasatan suruhanjaya itu sejak 2016.

"Tiada apa yang hendak kami sembunyikan, kami mengarahkan para pegawai supaya memberi apa jua dokumen yang diperlukan dan semua jabatan akan memberi kerjasama penuh," katanya.

Bagaimanapun, Guan Eng berkata, pentadbirannya tidak mengetahui tentang serbuan SPRM semalam di mana dua individu bergelar 'Datuk' direman hingga hari ini.

 

Terdahulu, terdapat laporan bahawa dua pengarah bergelar ‘Datuk’dikenakan perintah reman masing-masing oleh Mahkamah Majistret di Putrajaya dan Georgetown hari ini berhubung siasatan terhadap projek terowong bawah laut itu.  - BERNAMA