27
Jum, Apr
960 ARTIKEL BARU

Terlalu Banyak Kontroversi, Sudah Tiba Masa Guan Eng ‘Bersara’

Politik
Typography

BELUM pun sempat kes penyalahgunaan kuasa mengenai pembelian banglonya yang dilakukan di bawah nilai pasaran diputuskan mahkamah, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kembali menarik perhatian orang ramai apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu beberapa premis dan pejabat kerajaan negeri di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) pada Selasa dan Rabu lalu berikutan laporan mengenai salah tadbir urus dan rasuah dalam urusan pembinaan terowong dasar laut yang pernah menjadi kontroversi sebelum ini.

Isu mengenai pengurusan pembayaran serta pembinaan terowong tersebut kembali hangat diperkatakan setelah Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan pada 5 Januari lalu membuat laporan kepada SPRM mengenai kemungkinan timbulnya unsur salah guna kuasa kerajaan negeri dalam projek mega dan berprofil tinggi tersebut. Dalam laporan yang disertakan dengan bukti terbaharu itu, Huan mempertikaikan tindakan kerajaan negeri yang dikatakan memberikan dua bidang tanah kepada syarikat Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd sebagai satu bentuk dan kaedah pembayaran kepada mereka atas kajian mengenai kebolehlaksanaan projek tersebut.

Terowong dasar laut yang dirangka itu bakal menghubungkan Persiaran Gurney di Georgetown dengan Bagan Ajam di Seberang Perai Utara dengan panjang 7.2 kilometer. Kos pembinaan projek tersebut beserta dengan pembangunan projek tiga lebuh raya utama dianggarkan bernilai RM6.3 bilion, sekaligus menjadikan ianya kontroversi dan perdebatan hangat dalam kalangan penduduk Pulau Pinang. Bukan sedikit penduduk negeri itu yang mempertikaikan keperluan projek terowong tersebut dan tidak kurang juga yang menyuarakan kebimbangan mereka mengenai impak projek itu terhadap persekitaran ekonomi, sosial dan alam sekitar negeri.

Oktober tahun lalu menyaksikan kerajaan negeri pimpinan DAP mengakui kegagalan mereka untuk menyerahkan laporan mengenai kebolehlaksanaan projek pembinaan terowong tersebut kepada Kementerian Kerja Raya. Mengulas mengenai perkara tersebut, kerajaan negeri secara bersahaja mempertahankan kegagalan mereka dengan alasan bahawa jangkaan pelaksanaan projek tersebut masih lambat, iaitu hanya akan bermula pada tahun 2023.

Percanggahan Prinsip CAT

Dalam pada itu, setelah isu ini kembali tersebar dengan meluas, Guan Eng tampil mempertahankan dirinya dan kerajaan negeri. Kata beliau, tanah yang diberikan kepada syarikat tersebut hanyalah sebagai bayaran atas pembangunan projek tiga lebuh raya utama. Guan Eng menambah bahawa kerajaan negeri sehingga kini tidak pernah membayar satu sen pun kepada syarikat tersebut dalam hal yang melibatkan kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut biarpun ianya dikatakan telah pun 92 peratus siap.

Kontroversi yang membelenggu Guan Eng ini memperlihatkan bagaimana batang tubuh Ketua Menteri Pulau Pinang itu sendiri terpalit dengan pelbagai tanggapan negatif berikutan kegagalan beliau menguruskan isu dengan baik. Isu pembelian banglonya sebelum ini sudah pun cukup mencemarkan integriti beliau sebagai seorang tokoh politik yang kononnya begitu menjuarai prinsip Cekap, Amanah dan Telus (CAT). Satu demi satu kontroversi yang melanda kepimpinan negeri itu walau bagaimanapun ternyata telah ‘bercakap’ mengenai sesuatu yang sangat bertentangan dengan prinsip yang katanya dipegang Guan Eng sendiri.

Sikap Double Standard DAP

Lantas ianya memberitahu kita sebagai rakyat terbanyak bahawa dalam ‘kesungguhan’ DAP memperjuangkan ketelusan dalam pentadbiran kerajaan, tindakan mereka jelas membayangkan satu bentuk hipokrisi tertinggi. Mereka begitu lantang dan keras bersuara dalam isu 1MDB walaupun siasatan pihak berkuasa dan Jabatan Peguam Negara sendiri mengesahkan tiadanya unsur salah laku dalam pengurusan syarikat milik negara tersebut. Jika benar DAP sendiri ikhlas memperjuangkan konsep ketelusan dalam pengurusan dan pentadbiran, mengapa mereka berdiam seribu bahasa dalam kes yang melibatkan Guan Eng?

Ini tentunya cerminan satu sikap double standard dalam politik cara mereka. Mereka boleh, orang lain tak boleh. Dalam keadaan pilihan raya umum (PRU) yang semakin hampir, nampaknya DAP tidak boleh mengambil risiko dan cuba untuk menepis sebarang persepsi dan unsur yang mampu memalitkan ketua mereka itu dengan pelbagai kontroversi lain. Situasi seumpama itu tentunya berpotensi menjejaskan peluang mereka untuk terus mencengkam politik Pulau Pinang.

Ketua Kerajaan Negeri Yang Lemah

Ketika ramai pemerhati politik mengakui bahawa Pulau Pinang memang sukar untuk dirampas kembali oleh BN dan berkemungkinan terus kekal di bawah DAP untuk setidak-tidaknya sepenggal yang akan datang, namun ramai penganalisis boleh bersetuju bahawa perubahan amat diperlukan di peringkat pucuk pimpinan negeri. Dengan pelbagai kontroversi bersilih ganti dan tindakan kerajaan negeri sendiri yang seolah-olah menganaktirikan sebahagian kelompok penduduk negeri, Guan Eng tidak lagi dilihat sebagai individu yang perlu dikekalkan sebagai seorang ketua kerajaan negeri.

Maknanya, dalam keterujaan DAP menggesa perubahan sistem dan kepimpinan di peringkat nasional, mereka juga perlu melihat kepada sistem yang semakin ‘longgar’ dan ‘goyah’ di Pulau Pinang. Tanggapan negatif terhadap kepimpinan Guan Eng bukan sahaja dizahirkan oleh masyarakat Melayu semata-mata, bahkan denyut nadi tersebut turut dikongsi oleh masyarakat India dan sebahagian masyarakat Cina yang nampaknya semakin lama semakin penat dan lelah dengan politik cara Guang Eng yang banyak menguntungkan golongan elit.

Tambahan pula, kumpulan rakyat yang terkesan ini masih lagi merasai kesan musibah banjir dan tanah runtuh yang kerap melanda Pulau Pinang ketika mana Guan Eng sibuk membangunkan projek-projek mega yang tidak masuk akal. ‘Keasyikan’ Guan Eng menyerang pentadbiran negeri lain khususnya Kelantan dalam soal kemiskinan dan pembalakan umpamanya sudah mula memakan diri. Jika pentadbiran negeri lain itu dikatakan lemah dan gagal, maka dengan segala ‘musibah’ yang menimpa dirinya dan Pulau Pinang sejak akhir-akhir ini, apakah pula bentuk sifat yang boleh Guan Eng letakkan pada pentadbiran kerajaan negeri pimpinan beliau sendiri?

Malapetaka Untuk DAP, Panduan Untuk Rakyat

Siasatan SPRM ke atas Guan Eng berkenaan isu terowong dasar laut kali ini adalah satu ‘malapetaka’ baharu buat Setiausaha Agung DAP itu. Isu terbaharu ini sememangnya mematikan akal dan gerak langkah politik beliau, apatah lagi dengan suasana PRU yang semakin hangat terasa. Buat masa ini, sejauh mana dakwaan salah laku yang berlaku dalam projek pembinaan terowong tersebut masih lagi dalam siasatan dan pengetahuan SPRM. Namun apa yang pasti, rakyat akan terus menilai integriti dan ketelusan Guan Eng sebagai pemimpin dan tentunya DAP sebagai sebuah parti politik.

Jika salah laku dalam urusan itu dibuktikan wujud kelak, dan ditambah pula dengan kes pembelian banglo Guan Eng yang mencurigakan dan masih belum selesai, rakyat Malaysia khususnya penduduk Pulau Pinang bolehlah menilai dengan adil dan waras apakah bentuk pimpinan yang hendak diterapkan DAP di negeri itu, dan apakah pula bentuk kerajaan yang mahu diwujudkan DAP dan komponen Pakatan Harapan (PH) sekiranya mereka berjaya menewaskan BN kelak. Setidak-tidaknya buat masa ini, dengan pelbagai isu dan kontroversi, mereka sendiri pun masih gagal menjadi cerminan satu alternatif yang lebih baik untuk rakyat.

 

Dipetik daripada Malaysian Access (https://malaysianaccess.com/satu-demi-satu-kontroversi-sudah-masanya-guan-eng-bersara/)