27
Jum, Apr
960 ARTIKEL BARU

Kami Terpaksa Terima Mahathir Sebagai PM – Otai Reformasi

Politik
Typography

KUALA LUMPUR - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dinamakan Gerakan Otai Reformasi menyatakan mereka terpaksa menerima Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sementara walaupun tidak bersetuju.

Pemangku Setiausaha gerakan itu, Saiful Ariffin berkata, pada asalnya mereka inginkan jawatan itu disandang oleh Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin manakala Dr Mahathir sebagai penasihat.

“Kami berpendapat adalah lebih baik Dr Mahathir sebagai penasihat memandangkan faktor kesihatan dan keupayan beliau dari segi umur.

“Oleh itu cadangan Wan Azizah sebagai Perdana Menteri sementara dan Muhyiddin sebagai timbalan diangkat tetapi ditolak.

“Bagaimanapun kami akur memandangkan 13 resolusi (syarat) yang diumumkan Pakatan Harapan (PH) dalam konvensyen itu selari dengan kehendak yang mereka mahukan sebelum ini,” katanya.

Antara resolusi yang dicapai pada konvensyen itu adalah, menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), menstabilkan harga petrol dan memberikan fokus utama kepada usaha menambah pendapatan rakyat.

Selain akan menghadkan tempoh masa memegang jawatan Perdana Menteri  kepada dua penggal pilihanraya sahaja.

Sementara itu, Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula  dinamakan sebagai Perdana Menteri Ke-8 selepas pembebesan beliau dan mendapat pengampunan Yang-Dipertuan Agung.

Gerakan Otai Reformis sebelum ini membantah kemasukan Dr Mahathir ke dalam PH dan menolak kepimpinan beliau di peringkat parti dan kerajaan. Ia ditubuhkan selepas Dr Mahathir memecat timbalannya pada September 1998.