23
Sel, Okt
29 ARTIKEL BARU

Ezam ‘Kacau Daun’ Kerusi PAN di Shah Alam

Politik
Typography

PENGUMUMAN Datuk Ezam Mohd Noor yang ingin bertanding di kerusi Parlimen Shah Alam pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) ibarat menambahkan lagi kecelaruan kepada Parti Amanah Negara (PAN). 

Sudahlah tidak diberi banyak kerusi untuk ditandingi pada PRU14, sekarang ini ada pula Ezam yang mahu kacau daun di kerusi Shah Alam yang disandang wakil rakyat PAN, Khalid Samad.

Untuk rekod, Ezam yang pernah dua kali keluar UMNO itu seperti yang dilaporkan media berkata beliau ingin bertanding di Shah Alam bagi mencipta kesedaran melawan rasuah di kalangan orang Melayu dan umat Islam.

Memetik laporan sebuah portal, Khalid yang diminta mengulas mengenai perkara tersebut menyifatkan Ezam seolah-olah tersalah tempat untuk bertanding PRU14 dalam usahanya melawan rasuah.

Katanya, pengerusi Hisbah Malaysia itu tidak sepatutnya bertanding melawan Pakatan Harapan (PH) jika dia mahu menentang rasuah.

“Kalau dia nak lawan rasuah, nak lawan bapa kleptokrat mungkin berkesan. Dia tak patut bertemu dengan PKR, PPBM atau bertemu di suatu tempat di mana tidak ada calon PH.

“Macam bagi saya di Shah Alam agak peliklah kalau dia kata (lawan rasuah) itu agenda dia. Bila dia buat begitu, akan ada ramai yang pertikai perkara itu, apa pun itu hak dia,” Khalid dipetik sebagai berkata.

Khalid turut berkata, jika Ezam benar-benar mahu melawan rasuah seharusnya membantu calon PH memandangkan dalam manifesto gabungan itu ingin melawan rasuah.

“Walaupun dia kata begitu (Ezam kata nak lawan rasuah), penglibatan dia hanya dilihat sebagai usaha pecahbelahkan undi pihak yang membangkang lawan BN,” katanya.

Nampak gayanya semakin hampir dengan PRU14 ini semakin ramai politikus-politikus pembangkang menampilkan sikap sebenar mereka. Di kalangan mereka ini sebenarnya tidak serius untuk memperjuangkan kepentingan rakyat. Apa yang penting kepada mereka hanyalah untuk mengejar kuasa. 

Maka itu tidak hairan sekiranya isu pertelagahan merebut kerusi untuk ditandingi pada PRU14 ini akan terus menyelubungi mereka sehinggalah menjelang hari pengundian nanti. 

Ini baru cerita untuk meletakkan calon di kerusi Parlimen. Bayangkan bagaimana pula celarunya nanti apabila agihan kerusi DUN diumumkan. Pasti ‘tonggang-terbalik’ jadinya mereka bergaduh kerana tak puas hati sesama sendiri.

 

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.