23
Sel, Okt
29 ARTIKEL BARU

‘Tanggungjawab Saya Pantau Projek Terowong Dasar Laut’ – Tiong Lai

Politik
Typography

KUALA LUMPUR - Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyelar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menuduhnya menyalahguna kuasa berhubung isu projek pembinaan terowong dasar laut di negeri terbabit.

Beliau dipetik berkata, sebagai menteri, menjadi tanggungjawabnya untuk memantau perkembangan projek berkenaan dan perlu menjawab persoalan berkaitan.

Jelas Tiong Lai, ketika lawatannya ke China sempena Persidangan Menteri Penerbangan Pertama Asia Pasifik Pertama dan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya di Beijing baru-baru ini, pegawai kanan Perbadanan Pembinaan Keretapi China (CRCC) mengesahkan pihak mereka hanya kontraktor dan tidak pernah menjadi pemegang saham bagi syarikat tujuan khas (SPV) untuk projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion itu.

Susulan itu, Guan Eng hanya perlu menjawab soalan diajukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong kerana selama ini beliau memberitahu umum kononnya mereka melaksanakan pentadbiran kerajaan yang telus.

"Beliau (Guan Eng) perlu memberi jawapan kepada rakyat kerana rakyat ingin mengetahui hal sebenar apa perkembangan pembinaan terowong terbabit selepas ia dilancarkan lima tahun lalu memandangkan sejumlah wang sudah dibayar, selain tanah juga diberi kelulusan.

"Saya kesal kerana sepatutnya sebagai pemimpin, beliau perlu beri jawapan (berhubung pembinaan terowong itu) dan bukannya hanya tahu menyerang atau mengkritik orang lain.

"Tetapi, siapa makan cili, dialah yang terasa pedas. Beliau melenting kerana tidak dapat menjawab soalan diajukan kerana selama ini terlalu banyak penipuan dilakukan," katanya dipetik BH Online pada sidang media selepas melancarkan inisiatif 'MCA Belt and Road 2.0' yang turut dihadiri Ka Siong, di sini, hari ini.

Inisiatif terbaru itu merangkumi lima strategi utama iaitu perniagaan, perusahaan kecil dan sederhana ke peringkat global, platform perdagangan, polisi pelaburan dan peluang pendidikan antara Malaysia dan China.

Sementara itu, Tiong Lai yang juga Presiden MCA turut menafikan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak akan diserahkan kepada UMNO seperti digembar-gemburkan ramai.

Beliau berkata, desas-desus berkenaan tidak benar sama sama sekali, tetapi enggan membincangkan isu pertukaran kerusi itu menerusi media.

Parlimen Bandar Tun Razak yang majoriti pengundi adalah Melayu sememangnya kerusi tradisi MCA, namun ia dikatakan turut menjadi perhatian UMNO.

Kerusi parlimen itu sebelum ini disandang bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Tan Chai Ho selama tiga penggal sebelum tewas kepada bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

 

Abdul Khalid yang ketika itu mewakili PKR memenangi kerusi parlimen terbabit selama dua penggal bermula Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) sebelum keluar daripada parti berkenaan.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.