25
Rab, Apr
958 ARTIKEL BARU

Pertikai Hukuman Rafizi, Pembangkang Hina Institusi Kehakiman - GAUM

Politik
Typography

KUALA LUMPUR - Tindakan beberapa pemimpin pembangkang yang mempertahankan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kononnya menjadi mangsa kepada undang-undang negara dilihat sebagai satu lagi cubaan menghina Institusi Kehakiman Negara selain cubaan memperbodohkan seluruh rakyat Malaysia.

Pada 7 Februari lalu, Rafizi Ramli telah dijatuhi hukuman penjara selama 30 bulan, selepas didapati bersalah melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA) kerana mendedahkan empat akaun bank, berkaitan National Feedlot Corporation (NFC) dan pengerusinya Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, sebelum ini pada 14 November tahun lalu, Rafizi turut didapati bersalah oleh mahkamah di atas dua pertuduhan OSA dan telah dijatuhi hukuman penjara selama 18 bulan, selepas pemimpin PKR itu didapati bersalah mendedahkan Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB.

“Pihak mahkamah sebenarnya hanya melaksanakan undang-undang akibat perlanggaran undang-undang yang telah dilakukan oleh Rafizi sendiri.

“Sekiranya beliau menyatakan tuduhan terhadap NFC itu benar Rafizi perlu mengimbau saman fitnah oleh NFC ke atasnya  dimenangi oleh NFC, selepas Mahkamah Tinggi memutuskan Rafizi bersalah dan memerintahkan untuknya membayar RM150,000 kepada Mohamad Salleh dan RM50,000 kepada NFC,” katanya selain Rafizi diminta membayar kos guaman kepada NFC sebanyak RM100,000.

Zulkarnain berkata, dalam saman yang difailkan pada 3 Jun 2013 yang lalu, Mohamad Salleh dan NFC mendakwa pada 7 Mac 2012, Rafizi telah membuat kenyataan berbaur fitnah pada sidang media di Pejabat PKR berhubung pembelian hartanah KL Eco City.

Tambahnya, Mohamad Saleh menyatakan saman ke atas Rafizi itu difailkan kerana kerugian yang dialami akibat pembohongan, maklumat mengelirukan, pendedahan maklumat perbankan yang sulit dan kenyataan fitnah yang dibuat defendan.

Menurutnya, mahkamah telah menjatuhi hukuman penjara selama 30 bulan ke atas Rafizi sebelum ini, dibawah Akta Bafia bukanlah satu perkara yang memeranjatkan, namun telah menjadi adat resam kepada pembangkang di Malaysia, iaitu apabila pemimpin mereka didapati bersalah, mereka akan mengatakan bahawa undang-undang tidak dilaksanakan dengan adil.

“Sekiranya yang bersalah itu pemimpin Barisan Nasional (BN) maka mereka menafsirkan undang-undang telah tertegak dengan jayanya.

“Ini sekaligus menunjukkan sikap sebenar hipokrit pembangkang yang jelas selalu cuba memperbodohkan rakyat kononnya mereka sentiasa betul dalam setiap tindakan yang mereka lakukan,” katanya.