26
Sab, Mei
823 ARTIKEL BARU

ROS Didesak Ambil Tindakan Segera Aduan Anggota PPBM

Politik
Typography

KLUANG - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) didesak mengambil tindakan segera terhadap aduan dikemukakan anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkaitan perlembagaan parti itu, sejak Oktober lepas.

Bekas Penyelaras PPBM Kluang Arjuna Putra Ali berkata terdapat lebih 400 aduan dikemukakan anggota parti itu di seluruh negara, namun masih belum diambil sebarang tindakan oleh ROS dalam masa empat bulan ini.

"Jika (masih) tiada penyelesaian, saya bersama semua pengadu akan mengadakan demonstrasi aman di hadapan ibu pejabat ROS," katanya di sini, hari ini.

Arjuna Putra turut menyifatkan PPBM sebagai sebuah parti koboi kerana gagal menyelesaikan perlembagaan parti.

Katanya aduan yang dikemukakan kepada ROS membabitkan lima perkara iaitu pelaksanaan mesyuarat agung (AGM) parti itu, yuran keahlian, pendaftaran keahlian tanpa pengetahuan penama, ketua bahagian yang dilantik merupakan kroni pemimpin tertinggi dan kegagalan parti mengemukakan penyata kewangan.

"Saya juga ada menyimpan bukti percakapan (pengadu) dalam cakera keras (hard disk) selain maklumat peribadi pengadu, namun ia akan terus kami simpan bagi mengelak ia 'hilang' sebelum dihantar kepada ROS dalam tempoh 10 hari lagi," katanya.

 

- BERNAMA