17
Jum, Ogs
56 ARTIKEL BARU

Kenyataan Bercanggah, Kerajaan Selangor Dituntut Jelaskan Perkara Sebenar Isu Rumah Selangorku

Politik
Typography

KUALA SELANGOR - Kerajaan negeri Selangor digesa supaya berhenti berdolak-dalik dan menjelaskan segera kepada rakyat punca sebenar pembinaan sembilan projek Rumah Selangorku dibatalkan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, setakat ini kenyataan berhubung pembatalan projek berkenaan adalah bercanggah antara Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar A Samad dan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Exco dalam kenyataannya berkata kelulusan projek itu dibatalkan kerana pemaju gagal mendapatkan Kebenaran Merancang dalam tempoh dua tahun daripada tarikh kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

"Menteri besar pula menyalahkan pemaju kerana mengutamakan projek perumahan kos sederhana dan mewah, jadi soalan saya apa sebenarnya punca pembatalan ini.

 

"Kenapa selepas dua tahun baru batal? Apa pun sudah lumrah sikap pemimpin pakatan pembangkang, mereka tidak akan mengaku kesilapan sendiri, sebaliknya mencari salah pihak lain untuk menutup kesilapan mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan sempena Tahun Baharu Cina di Bagan Pasir Penambang, di sini hari ini.

Pada Selasa lepas, Iskandar yang juga merupakan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka dilaporkan berkata, kerajaan negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Induk Rumah Selangorku telah membatalkan sembilan projek rumah berkenaan yang diluluskan antara 2014 hingga 2016, setelah pemaju gagal mendapatkan kebenaran MMKN.

Iskandar yang juga Adun Chempaka berkata, pembatalan sembilan projek tersebut akan disahkan oleh MMKN yang melibatkan tiga projek di Kajang, dua projek di Selayang dan masing-masing satu projek di Subang Jaya, Shah Alam, Ampang Jaya dan Klang, kesemuanya dilulukan antara tahun 2014 hingga 2016.

Selain itu, menurutnya, kerajaan negeri mempunyai satu jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Pembangunan Rumah Selangorku (JTPPRS) bagi memantau pelaksanaan projek-projek Rumah Selangorku.