22
Kha, Feb
740 ARTIKEL BARU

Kaum India Tidak Pernah Dipinggirkan Oleh Kerajaan Barisan Nasional

Politik
Typography

PORT DICKSON – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mengabaikan masyarakat India ini dapat dilihat dengan tertubuhnya Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) dalam usaha untuk menjamin kaum di negara ini terbela.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, MIB yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri bukan sekadar khayalan sebaliknya adalah kenyataan dalam usaha beliau untuk mensejahterakan masyarakat India di negara ini.

Menurutnya, ini adalah untuk pembangunan komuniti itu di negara ini dalam tempoh 10 tahun akan datang ia bertujuan untuk meningkatkan kedudukan masyarakat India.

“Ia akan mengatur hala tuju 1.7 juta orang India dan membabitkan peruntukan lebih daripada RM1 bilion yang mana memberikan penekanan kepada pendidikan, penyertaan dalam perkhidmatan awam dan masalah taraf kewarnegaraan.

“Bagi Negeri Sembilan, semua permasalahan kaum India telah pun diselesaikan baik isu yang membabitkan kuil, sekolah dan pelbagai lagi,” katanya  dalam program Indian Young Stars Talk Show.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Mat Ali Hassa, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan Pengarah JASA Negeri, Mustapha Nagoor.

Mohamad berkata, dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi manfaat semua kelompok rakyat di negeri ini termasuk projek Lembah Wawasan Malaysia (MVV).

"MVV adalah pelan jangka panjang pemodenan Negeri Sembilan. Kita mahu laksanakan satu pembangunan yang mampan, lestari, terancang dan futuristik, kita tak mahu mengulangi kegagalan sistem bandar raya yang lain dari segi pengangkutan awamnya, sistem pembangunannya.

“Melalui MVV yang dijangka mampu meraih sebanyak RM290 bilion pelaburan dan mewujudkan 1.38 juta peluang pekerjaan, saya mahu anak-anak negeri ini rebut peluang yang ada," katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional Negeri.

Mohamad berkata, beliau yakin BN akan terus menerima sokongan padu daripada masyarakat India di negeri ini pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, masyarakat India hari ini berasa kecewa dengan pelbagai janji yang ditaburkan pembangkang yang masih gagal ditunaikan.