24
Ahd, Jun
64 ARTIKEL BARU

Azmin Serah Tanah Bernilai RM1.8 bilion Kepada Pemaju Bermasalah

Politik
Typography

KUALA LUMPUR  – Barisan Nasional (BN) mempersoalkan tindakan yang dilakukan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung menyerah semula tanah milik peneroka di Ijok yang bernilai RM1.8 bilion kepada syarikat Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCD Development Sdn Bhd.

Pengarah Komunikasi  Strategik BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, ini kerana mahkamah telah memutuskan bahawa tanah tersebut adalah milik kerajaan negeri memandang syarikat terbabit gagal memajukan tanah berkenaan.

Menurutnya, ketika Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besar, beliau telah  mengambil alih semula tanah kerajaan negeri yang dimiliki oleh syarikat berkenaan kerana pelanggaran syarat dan terma perjanjian.

“Peneroka memperolehi tanah itu ketika BN menjadi parti pemerintah pada tahun 1998 dan peneroka telah bersetuju untuk membenarkan beberapa syarikat termasuk Mujur Zaman dan LBCN untuk membangunkan tanah tersebut.

“Malangnya setelah 10 tahun berlalu projek perumahan dan wang pampasan seperti yang dijanjikan tidak dapat di tunaikan oleh syarikat-syarikat berkenaan dan ketika Khalid menjadi Menteri Besar beliau telah merampas semula tanah tersebut untuk diambil alih oleh Kerajaan Selangor.

“Syarikat berkenaan telah melanggar syarat di bawah Kanun Tanah Negara iaitu tidak  tidak membayar premium tanah; tidak menukar syarat tanah pertanian kepada tanah perumahan dan tidak membayar premium tukar syarat tanah,” katanya malah turut mencagar tanah tersebut kepada institusi kewangan bagi mendapat pinjaman tetapi projek tidak dilaksana sepenuhnya.

Abdul Rahman berkata, persoalan sekarang kenapa Mohamed Azmin tidak menunggu kes ini dibicarakan di Mahkamah Persekutuan memandangkan Kerajaan Negeri Selangor telah menang di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan berhubung pengambilan semula tanah itu.

Tambahnya, tindakan yang diambil oleh Menteri Besar itu dilihat secara tergesa-gesa dan ia merugikan kerajaan negeri dan rakyat Selangor dan mempunyai agenda tertentu.

“Seharunya beliau menyelesaikan tuntutan dan isu pampasan kepada peneroka, mengapa beliau tidak menjual tanah tersebut secara langsung kepada syarikat awam dan menggunakan hasil jualan RM1.18 bilion untuk membayar pampasan tersebut.

“Walaupun baru-baru ini Mohamed Azmin mengumumkan pembayaran pampasan kepada kesemua 980 peneroka berbentuk pampasan tunai RM180,000 seorang dan sebuah rumah bernilai RM250,000 seorang.

“Ini bermakna jumlah besar pampasan yang diumumkan olehnya bernilai RM421.4 juta. Di mana baki selebihnya yang berjumlah RM758.6 juta,” katanya.

Abdul Rahman menambah lagi, perkara ini telah dibangkit oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat malah telah beberapa kali disoal dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, sebaliknya Mohamed Azmin tidak memberikan jawapan yang jelas.

“Saya percaya pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan siasatan sekiranya ada penyalahan kuasa atau pun rasuah berikutan beberapa laporan telah dibuat,” katanya.