26
Rab, Sep
101 ARTIKEL BARU

PH Akui Tidak Mampu Kotakan Janji, Bakal ‘U – Turn’ Lagi – Tun M

Politik
Typography

KUALA LUMPUR –Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui gabungan pembangkang itu tidak mampu memenuhi semua janji dibuat pemimpin mereka setakat ini, jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan menubuh kerajaan kelak.

Justeru, menurut Dr Mahathir, pakatan terbabit kini menilai semula kira-kira 60 janji dibuat pemimpin mereka setakat ini, sebelum disenaraikan dalam manifesto untuk dikemukakan kepada pengundi menjelang PRU14 itu.

Beliau mendakwa, kepemimpinan PH tidak terikat kepada kenyataan dan janji dibuat pemimpin tertentu jika mendapati ia di luar kemampuan kewangan.

"Kita sedar, bahawa sebelum kita menyiapkan manifesto, ramai juga daripada pemimpin-pemimpin pakatan harapan yang membuat kenyataan tertentu (berhubung janji kepada rakyat).

"Kita tidak terikat dengan kenyataan dibuat itu, jika dapati tidak dapat dilaksanakan apabila menerajui kerajaan," katanya dipetik media tempatan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Galeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Menara Yayasan Selangor, semalam.

Yang turut hadir Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi PPBM, berkata pemimpin pakatan membuat 60 janji yang diharap dapat dilaksanakan walaupun mungkin tidak seperti diharapkan rakyat.

"Kita berpendapat, kewangan kerajaan ketika itu mungkin tidak boleh menampung janji-janji yang keterlaluan.

"Berikutan itu, kita akan membuat janji setakat yang mampu sahaja dan akan mengeluarkan manifesto ini tidak lama lagi," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Dr Mahathir berkata, PH akan membuat rayuan di mahkamah pada Khamis ini, berikutan kegagalan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak memberi maklum balas kepada permohonan mereka membentuk sebuah pakatan.

Sebelum ini, media melaporkan pakatan itu menghantar permohonan sejak pertengahan tahun lalu dan mahu isu itu diselesaikan untuk bertanding pada pilihan raya raya umum ke-14 nanti.

Mengulas isu pembahagian kerusi peringkat negeri di antara parti dalam pakatan itu, Dr Mahathir berkata, masih ada beberapa pembahagian kerusi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) belum dipersetujui parti dalam PH.

"Mereka (peringkat negeri) kalau tak dapat selesaikan pada Jumaat ini kena beritahu ibu pejabat dan perkara itu akan diangkat kepada Majlis Presiden untuk ditentukan di peringkat pusat.

 

"Segala keputusan selepas itu mesti diterima semua pihak dan setakat ini kita dah selesai (pembahagian kerusi) di empat buah negeri," katanya sambil enggan mendedah empat buah negeri dimaksudkan.