26
Rab, Sep
101 ARTIKEL BARU

Bekas Ahli Gesa ROS Digesa Ambil Tindakan Terhadap PPBM

Politik
Typography

PUTRAJAYA - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) digesa mengambil tindakan segera, selain tidak memberi 'keistimewaan' kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) jika terbukti terdapat salah laku dan pelanggaran fasal dalam perlembagaan parti itu yang dikemukakan ahlinya.

Menurut bekas pengasas PPBM, Kamarul Azman Habibur Rahman, pihaknya memberi banyak masa kepada ROS untuk meneliti laporan dikemukakan berhubung dakwaan salah laku dan pelanggaran perlembagaan parti itu yang dikemukakan ahli PPBM.

"Setiap persatuan atau badan politik perlu akur dengan perlembagaan digariskan, malangnya apa yang berlaku ialah PPBM tidak ikut perlembagaan ditetapkan.

"Inilah sebabnya berlaku kucar - kacir dalam parti dan kami datang ke sini (berhimpun) hari ini kerana sesuatu perlu dilakukan. Jika PPBM melanggar peraturan, ia tidak boleh dibiarkan begitu saja.

"Jangan kerana PPBM ini diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad, jadi 'keistimewaan' begitu besar diberi kepada parti ini untuk melanggar perlembagaan ditetapkan dan ini satu ketidakadilan," katanya kepada media di hadapan Kompleks D yang menempatkan ibu pejabat ROS di sini, hari ini.

Sebelum itu, kira-kira 1,000 ahli PPBM berhimpun bagi mendesak ROS mengambil tindakan terhadap parti berkenaan sebelum menyerahkan memorandum kepada ROS yang diterima Pengarah Bahagian Pengurusan Pertubuhan ROS, Mohd Rejab Ramli.

Sementara itu, bekas Exco Pemuda PPBM, Mohd Hafiz Azhar berkata, sekiranya ROS tidak mengambil tindakan terhadap parti itu, pihaknya akan mengadakan perhimpunan di hadapan Pejabat Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

"Justeru, kami berharap ROS mengambil tindakan segera. Kenapa harus berdiam diri sedangkan beratus laporan sudah dibuat kepada ROS," katanya.