24
Ahd, Jun
64 ARTIKEL BARU

Skandal Tanah Ijok : SPRM Serbu Syarikat Pemaju, Rampas Dokumen

Politik
Typography

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan serbuan terhadap lima syarikat dan merampas beberapa dokumen berkaitan isu penjualan tanah milik kerajaan negeri seluas kira-kira 880 hektar di mukim Ijok kepada sebuah syarikat pemaju swasta pada harga RM1.18 bilion.

Utusan Malaysia, dalam laporannya memetik sumber sebagai berkata, kelima-lima syarikat tersebut merupakan empat syarikat pemaju serta sebuah firma guaman.

“Dalam tiga serbuan semalam yang bermula pukul 11 pagi hingga 5 petang manakala dua lagi dibuat pada hari ini dan kesemua dilakukan di sekitar Selangor. Bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dibuat,” katanya dipetik media tempatan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang mengesahkan serbuan tersebut memberitahu, pegawai penyiasat kini meneliti dokumen berkaitan secara terperinci untuk tindakan selanjutnya.

“Saya sahkan kami telah pergi ke semua syarikat terbabit termasuk firma guaman semalam.

“Bagaimanapun, kami nafikan terdapat serbuan di pejabat Menteri Besar serta pejabat kerajaan negeri. Saya tidak tahu dari mana khabar angin itu timbul,” ujarnya.

Pada 15 Februari lalu, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempersoalkan tindakan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam menyelesaikan isu skandal tanah di mukim Ijok.

 

Abdul Khalid mahu pihak berkuasa menyiasat tindakan Kerajaan PKR Selangor berhubung isu terbabit kerana wujud pelbagai persoalan dalam proses penyelesaian skandal berkenaan, malah antara beliau dan peguam caranya tidak pernah dijemput hadir mengikuti sesi perbincangan walaupun mereka merupakan antara pihak dalam kes berkenaan.