26
Rab, Sep
101 ARTIKEL BARU

Skandal Terowong : Azeez Nafi Terlibat, Sedia Disiasat SPRM

Politik
Typography

KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim menafikan dakwaan terhadapnya berhubung projek terowong bawah laut Pulau Pinang dan bersedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes berkenaan.

Jelas Abdul Azeez, beliau dituduh menerima surat tuntutan daripada sebuah firma dan didakwa menerima bayaran tertentu berhubung kerja rundingan berkaitan projek pembinaan berkenaan.

Katanya, beliau menerima surat tuntutan melalui pos berdaftar semalam namun dakwaan itu adalah tidak benar sama sekali.

"Saya tidak pernah jumpa individu berkenaan dan saya juga tidak mempunyai urusan dengan syarikat pembinaan itu.

"Malah saya sifatkan ini sebagai tuduhan liar untuk menjatuhkan saya di kawasan Baling, Kedah lebih-lebih lagi menjelang Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14)," katanya ketika ditemui dalam majlis Sembang Kopi O 3.0 di Universiti Malaysia, di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Baling berkata, sesiapa saja boleh menggunakan namanya sebagai perunding kerana dikenali ramai selain memegang jawatan tertinggi dalam Lembaga Tabung Haji.

"Saya percaya nama saya digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab dan sekiranya betul apa yang didakwa mengapa firma berkenaan tidak berjumpa saya lebih awal?

"Jika saya terbabit dalam kerja rundingan, mesti ada perjanjian yang ditandatangani. Kamu tidak boleh sebarangan kata saya menerima wang melalui proksi," katanya.

Abdul Azeez juga nekad mengambil tindakan mahkamah dan mahu mendakwa pihak yang membuat tuduhan berkenaan.

 

Beliau mengulas lanjut surat tuntutan firma berkenaan yang dihantar pada 24 Februari lalu, di mana ahli politik itu dilaporkan menerima sejumlah bayaran untuk kerja rundingan berkaitan dengan projek terowong.