21
Isn, Mei
933 ARTIKEL BARU

Sekali Lagi Ahli Parlimen DAP Cemar Imej Parlimen - Azalina

Politik
Typography

KUALA LUMPUR - Tindakan tiga Ahli Parlimen DAP menggesa Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia meletakkan jawatan menunjukkan pembangkang terdesak dan mencemar nama Dewan yang mulia. 

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, dakwaan mereka menuduh kononnya Pandikar ‘sekutu untuk menutup skandal rasuah’ juga adalah satu dakwaan jahat.

Tambah beliau, Speaker berhak untuk menolak apa-apa soalan atau usul yang tidak mengikut Peraturan Mesyuarat. 

“Keputusan Speaker adalah konsisten dan adil, kepada semua ahli Dewan. Bagaimanapun, terdapat cara untuk mencabar keputusan itu dan bukannya mendesak Speaker meletak jawatan dan berprasangka buruk apabila keputusan tidak menyebelahi mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Menegaskan ianya amalan biasa apabila pembangkang menggunakan platform Parlimen untuk menyerang kerajaan, namun tindakan yang turut menyerang dan membuat dakwaan jahat terhadap Speaker dilihat sebagai terdesak dan tidak professional.

“Seperti yang pernah ditegaskan sebelum ini bahawa setiap ahli Parimen boleh berbeza pandangan dan berpegang dengan ideologi politik masing-masing. 

“Namun sebagai wakil rakyat mereka perlu menjaga standard sebagai ‘Ahli Yang Berhormat’ bukannya menunjukkan tingkah laku seperti ‘Ahli Yang Tiada Hormat’,” katanya.