21
Isn, Mei
933 ARTIKEL BARU

Manifesto Pembangkang Dicemari Dengan Sensasi - Salleh

Politik
Typography

KUALA LUMPUR - Manifesto Pakatan Harapan yang dilancarkan semalam 'hanya besar dalam kata-kata tetapi kecil dari segi kandungannya', kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

"Kita perlu realistik. Hakikatnya adalah manifesto Pakatan ini hanya besar dalam kata-kata tetapi kecil dari segi kandungannya."

"Dengan mengurangkan pendapatan dan meningkatkan perbelanjaan, Pakatan tidak akan melaksanakan kesemua janji-janji mereka dan masih membangunkan Malaysia," katanya dalam blog sskeruak.blogspot.my, hari ini.

Katanya pembangunan negara perlu dibina berdasarkan rancangan-rancangan yang terbukti dan bukannya melalui janji-janji yang dikitar semula.

Memetik manifesto pakatan pembangkang muka surat 138, Salleh berkata Pakatan Harapan membuat banyak janji seperti memberi lebih banyak wang kepada rakyat tetapi tidak menjelaskan rancangan mereka untuk menggantikan pendapatan yang hilang.

"Mereka juga berjanji untuk memberi negeri-negeri bersamaan 20 peratus royalti minyak. Adakah ini bermakna geran dan belanjawan pembangunan sekarang akan dikurangkan atau adakah berlaku tambahan bebanan kepada geran dan belanjawan pembangunan?"

"Bagaimanakah negara mampu semua itu dan dari manakah wang itu akan datang? Soalan itu tidak pernah dijelaskan," soal Salleh.

Katanya ahli-ahli politik perlu membuat janji-janji yang boleh ditunaikan dan bukan sekadar janji yang dapat membantu memenangi pilihan raya.

Salleh berkata pembangkang juga bercakap tentang memulihkan kedaulatan atau kedaulatan undang-undang di mana ia adalah perkara yang sama seperti yang dikatakan pembangkang pada tahun 1988, dan kemudian pada tahun 1998 iaitu ketika Tun Dr Mahathir Mohamad dituduh mengamalkan pemerintahan melalui undang-undang berbanding pemerintahan mengikut perundangan.

"Hari ini, Pakatan Harapan berkata perkara yang sama sekali lagi dan telah memilih Tun Dr Mahathir untuk memimpin 'perubahan'. Apa logik ini?

"Pakatan Harapan juga mengatakan kedaulatan negara telah digadai. Apa yang mereka maksudkan sebenarnya? Adakah mereka mengatakan Malaysia bukan lagi sebuah negara yang merdeka?" soal Salleh yang juga bendahari UMNO.

 

Tambah beliau ini sekali lagi perkara yang mudah sengaja dibesar-besarkan dan disensasikan walaupun Malaysia masih sebuah negara yang merdeka dan kedaulatannya masih utuh. -- BERNAMA