18
Sab, Ogs
62 ARTIKEL BARU

Tun M Sengaja Jadikan ROS ‘Kambing Hitam’, Mahu Bertanding Atas Tiket DAP – Puad

Politik
Typography

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dipercayai bakal bertanding dengan menggunapakai logo DAP dalam Pilihan Raya Umum ke – 14 (PRU14) akan datang ekoran sokongan akar umbi yang lemah terutamanya dalam kalangan orang Melayu terhadap parti itu.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, pasti bertanding menggunakan lambang DAP apabila PPBM mungkin tidak dibenarkan menggunakan logo sendiri kerana masalah kesahihan mesyuarat agung parti yang belum selesai.

"Tiada usaha konkrit daripada pengurusan PPBM untuk menyelesaikan masalah dihadapi kecuali berulang kali menjadikan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sebagai 'kambing hitam'.

"Dr Mahathir perlu memberi penjelasan sama ada benar pihak pengurusan parti itu sengaja membuat masalah dengan ROS sebagai alasan bertanding atas tiket DAP," katanya di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim, menegaskan PPBM mempunyai kira-kira 20 hari untuk menyerahkan maklumat dan dokumen berkaitan minit mesyuarat semua peringkatnya bersama penyata kewangan parti itu kepada ROS.

Langkah itu bagi mengelak parti berkenaan berdepan risiko dibubarkan mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966.

Dengan perkembangan itu, PPBM mungkin bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) atas tiket parti lain dalam Pakatan Harapan (PH).

Mesyuarat PH bulan lalu memutuskan keempat-empat parti sekutu gabungan itu akan bertanding menggunakan satu logo atau simbol pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Dalam pada itu, Mohd Puad mendakwa Dr Mahathir dan Mukhriz tidak yakin bertanding atas logo PPBM kerana garapan lemah parti berkenaan dalam meraih sokongan orang Melayu.

"Ini terbukti apabila PPBM gagal mengadakan mesyuarat cawangan dan bahagian kerana tidak cukup ahli untuk mengadakannya.

 

"Itu punca PPBM gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan dan tidak mungkin PPBM mampu mengadakannya semula dalam tempoh singkat ini," katanya.