17
Isn, Dis
9 ARTIKEL BARU

Manifesto PH Akan Tambah Beban Hutang Negara – Najib

Politik
Typography

ARAU - Beban hutang negara akan melonjak kepada RM416 bilion jika cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta tol dihapuskan sebagaimana yang dijanjikan Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya mereka, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata pemansuhan GST dan tol sahaja akan menyebabkan kerajaan kehilangan hasil negara berjumlah RM410 bilion tidak termasuk hutang sedia ada yang lain.

Katanya separuh daripada pembangunan negara juga tidak akan dapat dilaksanakan akibat kehilangan hasil negara yang besar itu.

"Dia (PH) punya manifesto lagi dahsyat.. (negara) kita akan berhutang dan adik-adik sekalian (generasi muda) yang akan tanggung... Sebab itu kita tidak boleh tipu rakyat, jangan tipu rakyat, yang mana boleh buat, kita buat, yang mana tidak boleh buat, kita beritahu tidak mampu."

"Tapi percayalah kita sentiasa fikir tentang rakyat kerana ini dasar kita, rakyat didahulukan," katanya pada Program Bajet 2018 bersama Rakyat: Belia dan Pelajar, di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini hari ini.

Najib berkata sesebuah negara juga akan berada dalam keadaan mundur jika semua kemudahan diberi secara percuma kerana ekonomi tidak akan dapat berkembang.

"Kita mesti kembangkan ekonomi kita, tahun lepas pencapaian ekonomi kita antara yang tertinggi di dunia dengan 5.9 peratus, bila ekonomi berkembang, banyak pelaburan akan masuk dan akan sediakan banyak peluang pekerjaan.

Kita ada sistem antara yang terbaik di dunia cuma kadang-kadang kita tidak hargai, bukan salah kita, tapi ada orang tertentu sengaja pusingkan dengan berita palsu," katanya.

Dalam pada itu, perdana menteri berkata masyarakat juga perlu percaya dengan kerajaan sedia ada dan yakin bahawa Malaysia kini berada di ambang sebuah negara yang lebih hebat.

 

"Kita sedang sediakan landskap ekonomi yang baik kepada generasi akan datang, dalam tempoh lima enam tahun lagi Malaysia akan berwajah baharu apabila projek seperti Transit Aliran Massa (MRT), Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Tun Razak Exchange (TRX) siap sepenuhnya," katanya. -- BERNAMA  

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.