24
Kha, Mei
873 ARTIKEL BARU

Kerajaan Sedia Bantu Graduan Jurusan Islam Ceburi Bidang Keusahawanan – Ismail Sabri

Politik
Typography

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dari negara-negara ASEAN dalam pelbagai aspek demi kemajuan umat Islam termasuk memperkasakan para graduan dalam bidang keusahawanan Islam.

Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, penglibatan dalam bidang keusahawanan dalam kalangan siswazah jurusan Islam adalah sangat kurang berbanding dalam jurusan lain sebagai contoh bidang syariah serta usuluddin.

“Institut Kemajuan Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM), akan bantu bangunkan usahawan siswazah yang mengambil jurusan agama.

“IKIAM juga boleh bantu mereka dalam pelbagai bentuk program keusahwanan seperti yang telah kita lakukan pada pusat – pusat tahfiz. Sebelum ini mereka jadi Hufaz, kini, apabila mereka keluar dari pusat tahfiz, mereka sudah ada sijil,” katanya.

Sementara itu, Ismail juga mengatakab bahawa pelbagai inisiatif dan program bakal diwujudkan seperti penubuhan Tabung Ekonomi Islam ASEAN yang dilancarkan hari ini dan pengiktirafan sijil halal.

Malah katanya, Malaysia juga bakal dijadikan sebagai negara hab untuk program haji dan umrah dari negara-negara lain dengan menyediakan sistem yang lebih efisien dan sistematik.

 “Kita akan berbincang dengan lebih lanjut selepas ini. Ada negara yang mempunyai penduduk Islam tetapi ditadbir oleh orang bukan Islam. Jadi mereka mungkin agak sukar dalam menjalankan urusan seperti zakat, haji dan urusan ekonomi.

 

“Sebelum ini kita hanya hantar al-Quran atau bantuan makanan tetapi pada masa akan datang kita mahu bangunkan usahawan di negara-negara terlibat terutama Kemboja. Yang penting demi kemajuan umat Islam,” katanya ketika menghadiri majlis perasmian Persidangan Antarabangsa NGO Islam ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di sini, hari ini.