21
Isn, Mei
947 ARTIKEL BARU

Media Pro - Pembangkang Dicipta Untuk Sebar Propaganda, Enggan Peduli Fakta

Politik
Typography

KUALA LUMPUR – Isu laporan berjudul ‘Felda Bankrap’ yang diterbitkan ‘lidah rasmi’ PKR, Suara Keadilan pada tahun 2010 lalu membuktikan bahawa pembangkang sememangnya memandang enteng tentang fakta serta ketelusan dalam menggarap laporan di akhbarnya.

Menurut bekas Ketua Editor Suara Keadilan, Datuk Seri Dzulkarnain Taib, semasa beliau masih berkhidmat dengan media pro pembangkang itu, idea serta penulisan sesebuah laporan sememangnya digarap sendiri oleh wartawan bertugas sebelum dimasukkan elemen propaganda di dalamnya.

“Sebenarnya, propaganda tersebut adalah halatuju pengurusan Suara Keadilan itu sendiri kerana pada waktu itu, isu Felda sedang hangat diperkatakan dan hebat diperdebatkan di parlimen.

“Media pembangkang memang mempunyai orientasi yang berbeza dan bersifat menyerang. Kita (Suara Keadilan) diarahkan untuk menjadikan isu tersebut suatu isu yang panas,” katanya pada sesi wawancara bersama Xpress TV di sini hari ini.

Sementara itu, jelas Dzulkarnain, permasalahan utama yang membelenggu media pro pembangkang adalah apa yang dilaporkan oleh akhbar berkenaan kebanyakannya berdasarkan desas – desus yang kemudiannya diputarbelit hingga menjadi seolah – olah fakta.

Beliau turut memberi contoh mengatakan prinsip sama digunakan Ketua Propaganda Nazi, Joseph Goebbels iaitu penipuan secara berterusan akhirnya akan dianggap sebagai satu kebenaran.

Tambah Dzulkarnain, perkara tersebut sekiranya dibiarkan akan membawa bahaya terutama kepada pemimpin negara yang seringkali berdepan dengan fitnah dan berita palsu yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Media pro pembangkang ini menjadi objek pembangkang untuk memfitnah dan menyebarkan propaganda mereka. Betapa pentingnya propaganda sehingga pembangkang juga sedar ia merupakan senjata ampuh sehingga sanggup menyerang tanpa fakta.

“Justeru, pembaca yang memilih meyokong pembangkang atau PKR akan mempercayai apa jua yang dihidangkan oleh akhbar berkenaan sama ada ianya fakta atau pembohongan.

 

“Bagi PKR, mereka lebih suka jika pengundi mahupun penyokong berfikiran jumud dan tidak mahu menimbag di antara pembangkang dan juga kerajaan,” katanya.