25
Sel, Sep
110 ARTIKEL BARU

Jentera BN Perlu Gembleng Tenaga Capai Kemenangan Besar Pada PRU14 - PM

Politik
Typography

KANGAR - Jentera Barisan Nasional (BN) perlu menggembleng tenaga dengan lebih kuat bagi memastikan kemenangan yang lebih besar pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata dengan mandat yang lebih besar itu beliau yakin kemajuan yang lebih pesat mampu dikecapi di setiap negeri dengan rakyat dapat merasai nikmat pembangunan itu.

"Kita bukan takbur dan Insya-Allah kita boleh menang tetapi kita mahu kerajaan yang kuat. Kita tidak boleh anggap semuanya berada dalam genggaman dan sebab itu kita perlu bekerja kuat.

"Dengan dasar yang jelas bersama kemampuan dan pelaksanaan yang BN ada, kita mampu pastikan kemenangan parti," katanya ketika berucap merasmikan Jentera Pilihan Raya BN Negeri Perlis 2018 di Dewan 2020 di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi BN Perlis Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man, Pengerusi MCA Perlis Datuk Chua Tee Yong dan Pengerusi MIC Perlis S. Vengadasamy.

Najib berkata dengan mandat yang lebih besar itu nanti, dalam tempoh beberapa tahun akan datang, perubahan ketara akan dapat dilihat termasuk di Perlis.

"Hebatnya di bawah kepimpinan BN ini, banyak lagi yang kita mahu buat dalam tempoh lima atau enam tahun untuk ubah rupa negara.

Apabila kerajaan kuat yang dibentuk, ia juga nanti akan dapat meningkatkan keyakinan rakyat dan dunia. Lebih banyak pelabur nanti akan terus melabur dan nanti nilai ringgit akan terus mengukuh," katanya.

Beliau berkata dengan pengukuhan nilai ringgit ketika ini membuktikan tohmahan pembangkang adalah salah dengan membuat pelbagai dakwaan termasuk negara akan bankrap.

"Siapa kata dunia tidak ada keyakinan dengan Malaysia...siapa kata negara bankrap, kalau bankrap tidak mungkin pemimpin dunia luar datang ke Malaysia untuk membuat pelaburan," katanya.

Perdana menteri berkata Perlis yang merupakan kubu kuat BN tidak pernah dilupakan dengan diberikan sepenuh perhatian dalam pelbagai bentuk termasuk pembangunan.

"Tidak pernah dalam sejarah, Perlis diberikan peruntukan 100 peratus bagi tiga Parlimen di Perlis untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR). Pahang pun tidak dapat 100 peratus ini," katanya.

Pagi tadi, Najib mengumumkan pembinaan baharu sebanyak 1,400 unit rumah PPR di seluruh Perlis.

Perdana menteri kemudiannya mengumumkan peruntukan pembangunan projek-projek kecil berjumlah RM9 juta bagi tiga kawasan Parlimen di negeri ini iaitu Padang Besar, Kangar dan Arau.

 

- BERNAMA