21
Kha, Jun
80 ARTIKEL BARU

Tun M Sudah Terlambat Nak Ubah Sejarah - Salleh

Politik
Typography

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, berkata sekarang sudah terlambat untuk Tun Dr Mahathir Mohamad mengubah sejarah mengenai apa yang telah didedahkan di mahkamah 20 tahun yang lalu.

Salleh menyifatkan pengakuan terbaru bekas perdana menteri itu sebagai yang paling membingungkan dan menimbulkan percanggahan sambil berkata, Dr Mahathir silap besar jika beliau fikir boleh mengubah sejarah kerana segala yang berlaku sejak tahun 1997 telah didokumentasi dengan baik disebabkan adanya internet.

Katanya, pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mempunyai masa 20 tahun untuk membetulkan rekod sekiranya apa yang dilaporkan itu adalah salah.

"Pertama sekali, apabila didedahkan bahawa (Datuk Seri) Anwar Ibrahim mengalami insiden "mata lebam", Dr Mahathir berkata kemungkinan besar Anwar menumbuk mukanya sendiri.

"Apabila akhirnya didedahkan bahawa bekas Ketua Polis Negara telah menumbuk Anwar, Dr Mahathir tidak meminta maaf atau menarik balik dakwaannya bahawa Anwar menumbuk mukanya sendiri," katanya menerusi catatan dalam blog beliau, https://sskeruak.blogspot.my, malam ini.

Salleh berkata, bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar kemudian mendedahkan bahawa Mahathir telah menghantar beliau untuk bertemu Anwar untuk menasihatkan beliau bahawa polis menyedari tentang salah laku seksualnya dan aktiviti lain dan bahawa beliau haruslah menghentikannya sebelum ia diketahui umum.

"Anwar tidak pernah menafikan pertemuan ini tetapi berkata pertemuan itu adalah mengenai jawatan pengerusi Genting untuk Hanif dan bukan mengenai aktiviti seks.

"Ini bermakna Mahathir tahu mengenai kegiatan Anwar lama sebelum Ogos 1998 dan beliau menghantar Hanif untuk bertemu Anwar untuk membincangkan perkara itu," katanya.

Dalam pada itu, Salleh juga melancarkan serangan ke atas Pakatan Harapan kerana mereka menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sebagai yang paling kotor dalam sejarah.

Salleh berkata ini semacam menunjukkan Pakatan Harapan tahu mereka akan kalah dan sebab itulah mereka memberi alasan itu untuk menjelaskan kekalahan mereka.

 

"Mereka melakukannya ini pada PRU-13 dan kemudian terbukti bahawa semua dakwaan mengenai kehadiran pengundi warga Bangladesh dan gangguan bekalan elektrik adalah palsu," katanya. - BERNAMA