22
Ahd, Jul
50 ARTIKEL BARU

Tegur Rais Kerana Sikap Bukan Berkaitan Jho Low - Tun Faisal

Politik
Typography

KUALA LUMPUR - Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim dilihat cuba untuk membersihkan dirinya selepas sedar melakukan kesilapan semasa diwawancara oleh Sinar Harian.

Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Rais bernasib kerana bukan ditemubual oleh Malaysiakini jika tidak tentu persepsi negatif terhadapnya akan lebih mengukuh.

Katanya, malangnya pengacara Sinar Harian mungkin tidak menguasai isu, jadi dia tidak bertanya soalan-soalan penting yang boleh membongkar kesilapan-kesilapan kenyataan Rais sebelum ini.

“Tugas saya adalah untuk membetulkan fakta yang telah diputar belitkan apabila kenyataan saya di Twitter yang dipolemikkan oleh portal propembangkang pada 15 Mac 2018, berbunyi begini, ‘Sila lah letak jawatan jika tidak boleh bertindak sebagai Menteri dan menggunakan saluran yang betul’. Jika dibaca, tweet ini adalah berbentuk teguran dan cadangan kepada Rais.

“Ia tulis kerana respon kepada Twitter Rais pada 14 Mac yang berbunyi, ‘Itulah..bila ditegur Menteri hebat macm Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kata orang meroyan. Dunia dah cukup perli Malaysia melalui Jho Low. Kenapa sayang sngat pada pemutar alam Jho Low?Berbillion ringgit wang negara lesap. Ingat bila pelepah gugur pucuk jangan ketawa. Saya masih Menteri, lupa kot? Siapa meroyan.

“Melihat kenyataan itu saya respon pada kenyataan beliau ‘Sila lah letak jawatan jika tidak boleh bertindak sebagai Menteri dan menggunakan saluran yang betul’ kerana sikap beliau yang tidak menggambarkan sebagai Menteri,” katanya.

Tun Faisal berkata, Rais juga tidak menggunakan saluran yang betul untuk mendaptkan maklumat mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) malah turut bertengkar dengan Mohamed Nazri dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Menurutnya, teguran itu dibuat kerana Rais membuat kenyataan yang bercanggah dengan pendirian kerajaan dalam isu 1MDB. Sebagai seorang penasihat bertaraf Menteri, beliau adalah wakil kerajaan sudah tentu amat janggal jika pandangan beliau tidak selari dengan keputusan jemaah Menteri, siasatan-siasatan yang dibuat oleh agensi-agensi kerajaan dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Sekiranya beliau mempunyai kekeliruan atau tidak mempunyai maklumat yang cukup, bukankah lebih mudah untuk menulis secara rasmi untuk mendapatkan taklimat dan jawapan daripada pihak berkaitan berbanding menulis di Twitter.

“Pada pandangan saya isu membabitkan Jho Low tidak akan timbul jika Rais memahami fakta kes dan membaca laporan PAC dan boleh mendapat lanjut melaluihansard prosiding PAC laman web Parlimen tetapi beliau tidak berbuat demikian.

“Malah beliau turut memperlekehkan Peguam Negara, polis dan PAC yang telah menjalankan siasatan sejak 2015. Oleh itu saya sarankan supaya beliau mendapatkan maklumat dan fakta kes menggunakan saluran rasmi yang ada. Bukannya susah untuk menulis surat rasmi atau bercakap sendiri dengan Menteri berkaitan untuk mendapatkan taklimat rasmi,” katanya.

Tun Faisal berkata, kenyataannya adalah satu teguran terbuka kerana Rais menggunakan medium terbuka apabila mengeluarkan pandangan bercanggah dengan rakan-rakannya dalam kabinet dan menyuarakan pandangan yang bercanggah dengan pendirian kerajaan. Sebagai Menteri dan wakil kerajaan, dia sepatutnya lebih tahu tindakan tersebut tidak wajar.