27
Jum, Apr
960 ARTIKEL BARU

BN Mungkin Umum Calon Lebih Awal - PM

Politik
Typography

SYDNEY - Barisan Nasional (BN) mungkin akan mengumumkan calon bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lebih awal berbanding dua atau tiga hari sebelum PRU seperti diamalkan selama ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga pengerusi BN berkata ini supaya BN dapat menyelesaikan masalah yang mungkin berlaku di sesuatu kawasan selain calon boleh bersedia awal.

"Kita akan umum lebih awal kali ini tetapi tidaklah terlalu awal. Kalau ada sesuatu permasalahan di kawasan itu kita ada masa untuk betulkan. Juga persediaan untuk yang jadi calon sebab dia dah tau jadi calon," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, Ahad.

Najib berkata beliau telah memiliki senarai awal calon tetapi memerlukan masa untuk membuat penelitian sebelum membuat pengumuman mengenainya.

"Kita masih lagi meneliti senarai calon. Kita memerlukan sedikit masa untuk meneliti sepenuhnya dan juga mendapat penilaian SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan pihak-pihak lain... (Belum muktamad) selagi belum diumumkan dan pihak berkenaan tak terima watikah, dia kena terima warkah (dipilih sebagai calon)," katanya.

Najib berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia 2018 selama dua hari bermula Sabtu.

Mengulas cadangan agar BN menamakan bakal calon menteri besar Selangor jika BN kembali merampas negeri itu, Najib berkata ia boleh dilakukan jika terdapat persetujuan antara pemimpin BN.

"Jika ada konsensus kenapa tidak, tetapi perlu ada konsensus yang jitu. BN perlu mengenal pasti bakal calon menteri besar... sekiranya konsensus dicapai dalam kalangan pemimpin BN, dengan itu kita akan umumkan bakal menteri besar bersama calon-calon," katanya.

Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhamad Taib yang mencadangkan kepada BN supaya menamakan bakal menteri besar bagi membolehkan pengundi membuat pilihan sekali gus memberi kelebihan kepada BN.