22
Ahd, Jul
50 ARTIKEL BARU

Ketandusan Idea, Pembangkang Kitar Semula Fitnah Lama – Rahman Dahlan

Politik
Typography

KUALA LUMPUR – Pakatan pembangkang ibarat ketandusan idea apabila kembali mengitar semula propaganda palsu kononnya Barisan Nasional (BN) menjual kedaulatan negara kepada China untuk menakut-nakutkan rakyat, selain mencipta persepsi buruk dan negatif rakyat terhadap parti itu.

Menurut Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, tindakan pembangkang menyebar semula berita palsu di media sosial adalah satu fitnah jahat yang tidak berlandaskan fakta dan angka sebenarnya.

Katanya, jumlah terkumpul pelaburan China (termasuk Hong Kong) di Malaysia setakat 2017 adalah bernilai RM65 bilion dan yang ketiga tertinggi selepas Singapura dan Jepun.

"Pelaburan China lebih rendah daripada jumlah terkumpul pelaburan Singapura (RM116.3 bilion) dan Jepun (RM71.6 bilion).

"Jika mengikut logik pembangkang, kedaulatan Malaysia sepatutnya terjual kepada Singapura dan Jepun dulu kerana jumlah pelaburan mereka lebih besar jika dibandingkan jumlah pelaburan dibuat China dalam negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurutnya lagi, Malaysia adalah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka dan akan menerima pelaburan dari luar negara yang tidak terhad kepada China saja.

Beliau berkata, Malaysia juga menerima pelaburan dari negara Eropah seperti Belanda, Switzerland, Jerman, United Kingdom, Denmark dan Amerika Syarikat.

Justeru itu beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak terus mempercayai bulat-bulat propaganda jahat pembangkang itu.

Katanya, pelaburan dari China hanya mewakili 11.5 peratus daripada jumlah pelaburan asing terkumpul di Malaysia sehingga 2017 yang mencatatkan RM565 bilion.

"Malaysia juga menerima pelaburan dari syarikat Saudi Aramco dari Arab Saudi yang bersetuju melabur A$7 bilion (RM27 bilion) dalam Projek RAPID Pengerang.

"Saya terbabit secara langsung dalam rundingan bersama-sama Menteri Tenaga, Industri dan Sumber Mineral Arab Saudi, Khalid al-Falih dan mendapat maklum balas positif daripada mereka berkenaan ekonomi Malaysia.

"Jadi, rakyat Malaysia sepatutnya berhati-hati sebelum percaya dan menyebarkan propaganda seperti ini.

"Berita palsu disebarkan pembangkang boleh menjejaskan ekonomi negara yang akhirnya akan merugikan kita sendiri. Jika pelaburan masuk ke Malaysia terjejas, tidak banyak pekerjaan boleh dicipta untuk rakyat Malaysia, seterusnya mengurangkan peluang menjana pendapatan," katanya.

Abdul Rahman berkata, pembangkang sanggup melakukan apa saja cara untuk mendapatkan kuasa termasuk mensabotaj ekonomi negara dan rakyat.