23
Isn, Apr
913 ARTIKEL BARU

Himpunan Pembangkang Gagal, Rakyat Dah Muak

Politik
Typography

KUALA LUMPUR – Himpunan yang dianjurkan oleh pakatan pembangkang nampaknya semakin gagal untuk menarik kehadiran orang ramai.

 

Terbaru, tidak sampai 100 orang menyertai himpunan Anak Muda Mencari Jho Low (AMCJL) anjuran Parti Amanah Negara (PAN) di hadapan kompleks membeli-belah, Sogo, di ibu negara hari ini.

Walaupun menampilkan pemimpin terkemuka mereka iaitu Presiden PAN, Mohamad Sabu, namun penganjur tetap gagal untuk menarik lebih ramai orang menyertai himpunan tersebut.

Seorang pengunjung Sogo yang ditemui, Mohd Haziq, 30 meluahkan rasa marahnya terhadap penganjur himpunan tersebut.

Menurutnya penganjur himpunan tersebut tidak mengambil kira perasaan orang ramai yang ingin menikmati cuti hujung minggu mereka dengan bersantai di ibu kota.

Katanya lagi, jumlah kehadiran yang tidak seberapa pada himpunan tersebut juga menggambarkan bahawa rakyat kebanyakannya sudah muak dengan protes seumpama ini.

“Sebenarnya rakyat sudah muak (dengan protes jalanan). (Sebab) menyusahkan orang. Pada saya himpunan sebegini sebenarnya tidak memberikan kesan. Lainlah kalau sejuta orang yang berhimpun,” katanya.

Pendapatnya itu turut disokong oleh seorang lagi pengunjung Sogo yang ditemui, Idi Izzuwan, 33.

“Perhimpunan ini tiada faedah. Ganggu orang ramai nak luangkan masa bersama keluarga.

“Dulu himpunan pembangkang ini ramai yang datang. Tapi sekarang dah kurang.

“Maknanya orang dah muak dengan protes begini, orang dah muak dengan pembangkang,” katanya.

Sementara itu bagi Siti Kamaliah, 25, rakyat seharusnya tidak terpengaruh dengan budaya perhimpunan jalanan.

Sebaliknya ujar beliau, sekiranya terdapat rasa tidak puas hati terhadap kerajaan, perkara tersebut seharusnya diterjemahkan pada hari pilihanraya nanti.

“Tidak sepatutnya berhimpunan macam ini. Patutnya tunjuk pada 9 Mei nanti. Tunjuk atau luahkan menerusi undian,” katanya.

Bagi Nana Samsuddin, 27 pula, beliau berpendapat mahasiswa yang menyertai himpunan tersebut sebagai tidak matang.

“Mahasiswa yang hadir sertai himpunan ini pada saya tidak matang. Mudah kata, nampak bodoh,” tegasnya.