18
Kha, Okt
51 ARTIKEL BARU

PRU 14: PH Tanding Dua Kerusi Parlimen, Enam DUN di Melaka

Politik
Typography

MELAKA - Pakatan Harapan bakal bertanding di dua kerusi parlimen dan enam kerusi dewan undangan negeri (DUN) di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Mohd Redzuan Yusof dalam majlis suai kenal calon Pakatan Harapan lewat malam ini mengumumkan beliau akan bertanding di Parlimen Alor Gajah sebagai calon Pakatan Harapan.

Beliau turut mengumumkan bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Dr Sabirin Ja'afar akan bertanding di Parlimen Masjid Tanah, yang sebelum ini disandang Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.

Selain itu bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Roslin Husin akan bertanding di DUN Ayer Limau dan Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM Mohd Rafiq Naizamohideen bertanding di DUN Paya Rumput.

DUN Lendu akan ditandingi Riduan Abu Bakar seorang jurutera, DUN Sungai Rambai calonnya Azalina Abd Rahman, DUN Asahan ditandingi Zamzuri Ariffin seorang jurutera, dan DUN Telok Mas ditandingi Fendi Ahmad seorang pensyarah.

Di Terengganu, PPBM mempertaruhkan 13 calon untuk bertanding di 10 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga Parlimen.

Daripada 13 calon yang diumumkan hanya seorang calon iaitu Datuk Razali Idris merangkap pengerusi PPBM negeri yang pernah mempunyai pengalaman bertanding pada PRU12 iaitu di DUN Rhu Rendang.

Razali yang mengumumkan senarai calon PPBM malam ini bakal bertanding di Parlimen Hulu Terengganu.

Turut bertanding di kerusi parlimen ialah Datuk Wan Nazari Wan Jusoh (Besut) dan Datuk Dr Mohd Faudzi Musa (Setiu).

Sementara itu calon yang akan bertanding di kerusi DUN ialah bekas pegawai tinggi kerajaan negeri Datuk Zulkifli Mohamad yang diletakkan di kerusi DUN Ladang; Aidi Ahmad (Pengkalan Berangan); Zamani Mamat (Ajil); Mohamad Arif Arifin (Bukit Besi); Datuk Seri Wan Marzuki Wan Sembok (Kijal); Che Ku Hashim Che Ku Mat (Kuala Besut); Ismail Abdul Kadir (Hulu Besut) dan Wan Hafizie Suzlie Wan Hassan (Tepuh).

 

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.