11
Sel, Dis
28 ARTIKEL BARU

Malaysiakini Biadab, Putar Belit Kenyataan TPM - Huan

Politik
Typography

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan menyeru pihak PDRM dan juga SKMM untuk mengambil tindakan tegas terhadap kebiadaban Malaysiakini kerana memutar belit satu kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Huan, artikel bertajuk 'Best not to vote if you can't get leave, Zahid tells M'sians in S'pore' telah memberi persepsi kononnya pihak kerajaan tidak menggalakkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura untuk pulang mengundi.

Katanya, tajuk artikel yang diterbitkan oleh portal tersebut tidak tepat dan sengaja dibuat untuk membangkitkan perasaan benci rakyat Malaysia terhadap kerajaan. 

"Kenyataan Zahid adalah jelas iaitu terpulang kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura sama ada mahu pulang untuk mengundi atau tidak. Kerajaan sentiasa terbuka dalam hal ini kerana negara ini adalah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi dan semua orang mempunyai hak untuk mengundi," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Huan juga mendakwa bahawa Malaysiakini cuba menipu dengan mengatakan terdapat seramai 250,000 ribu orang rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tanpa sebarang bukti sokongan ke atas angka tersebut. 

Beliau menegaskan bahawa putar belit Malaysiakini konon kerajaan menghalang rakyat Malaysia dari pulang mengundi adalah juga tidak benar. Bahkan tegas beliau kerajaan menggalakkan semua rakyat Malaysia untuk keluar mengundi pada PRU14 yang akan datang.

Selain itu Huan mendakwa portal tersebut sebagai telah melanggar Akta Anti Berita Tidak Benar yang diluluskan di parlimen baru-baru ini.

"Malaysiakini juga sudah terbukti melanggar  Akta Anti-berita Tidak Benar yang baru sahaja diluluskan di Dewan Rakyat.

"Perkara ini perlu dilakukan dengan segera kerana saya yakin selepas ini lebih banyak penipuan, putar belit dan berita palsu akan diterbitkan oleh Malaysiakini untuk mengelirukan rakyat serta menggugat keharmonian negara." katanya.

 

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.