22
Ahd, Jul
50 ARTIKEL BARU

Mahathir Menyusahkan Pembangkang – Chegubard

Politik
Typography

KUALA LUMPUR –Tun Dr Mahathir Mohamad adalah beban yang paling besar yang ditanggung oleh Pakatan Harapan (PH) pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14).

Menurut bekas ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Badrul Hisham Shaharin, ini kerana kehadiran Pengerusi PH itu di dalam kem pembangkang telah merencatkan ‘mood’ perubahan yang ingin dibawa oleh para penyokong mereka.

Tidak menolak kehadiran Mahathir turut menarik sokongan baru terhadap pembangkang, namun begitu dalam masa yang sama ujar beliau, pembangkang turut kehilangan sokongan lama yang selama ini mendukung perjuangan mereka.

“Mahathir membawa sokongan baru, ya. Tapi Mahathir juga menghilangkan sokongan lama yang selama ini bekerja untuk menghasilkan keputusan 2008 dan 2013.

“Mahathir juga yang menghilangkan sokongan aktivis, penggerak, tapak sokongan yang selama ini bekerja untuk Pakatan.

“Saya melihat dia (Mahathir) lebih menyusahkan. Sebab ketika rakyat dalam mood perubahan yang sangat tinggi, Mahathir akan menjadi cabaran yang paling besar, beban yang paling besar untuk pembangkang bawa,” katanya yang lebih dikenali sebagai Che’gubard itu dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Dalam sidang media yang sama juga beliau turut mengumumkan mengenai kempen ‘Siri Risalah Kompilasi Jenayah Kartel Azmin Ali’.

Jelas Che’gubard, menerusi kempen tersebut pihaknya akan mendedahkan segala bukti jenayah baru dan lama penyandang Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam bentuk yang mudah difahami.

“Dalam kemampuan kewangan yang sangat terhad, maka kami tak mampu mencetak risalah. Namun risalah akan diterbitkan dalam bentuk PDF file dan akan disebarkan dalam pelbagai bentuk termasuk media sosial,” katanya.

Menurutnya lagi, semua risalah tersebut akan diletakkan di dalam blog http://kartelAzmin.blogspot.com .

Tambah beliau, semua risalah tersebut terbuka untuk dicetak dan disebarkan.

“Tanpa berselindung risalah (tersebut) menyebut nama, menyiarkan dokumen dan gambar. Semua yang terlibat dijemput untuk mengambil tindakan undang-undang jika merasakan difitnah,” katanya.