25
Jum, Mei
851 ARTIKEL BARU

Pembangunan Pulau Perhentian Adalah Atas Jasa BN - Penduduk

Politik
Typography

BESUT - "Saya masih ingat jasa Barisan Nasional buat pertama kali membina lebih 100 rumah baharu untuk diberikan secara percuma kepada penduduk asal Pulau Perhentian pada tahun 1970-an," kata warga emas A. Karim Harith.

"Selepas itu, Pulau Perhentian mula dibangunkan sebagai destinasi pelancongan utama negara dan memberi impak positif terhadap sosioekonomi penduduknya," katanya ketika menceritakan jasa Barisan Nasional di pulau itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei.

A Karim, 67, berkata BN tidak pernah kalah di peti undi pulau peranginan itu sejak dahulu lagi kerana penduduk menghargainya yang banyak berjasa dan tidak mungkin jika hanya ada satu masalah, akan 'memadam' semua kebaikan diberikan BN kepada mereka selama ini.

Beberapa penduduk di Pulau Perhentian menghadapi masalah kegagalan kontraktor menyiapkan projek perumahan 200 unit yang dijanjikan pada tahun 2013.

Calon BN untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Rahman ketika bertemu pengundi di Pulau Perhentian semalam berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti tapak baharu untuk pembinaan 200 unit rumah pangsa mampu milik itu yang akan dilaksanakan di Teluk Dalam tidak lama lagi.

"Insya-Allah projek itu akan dilaksanakan secepat mungkin kerana proses pengambilan tanah telah selesai. Ini juga satu lagi bukti BN kerajaan yang bertanggungjawab kerana semua kos pembangunan di pulau akan meningkat tiga kali ganda berbanding tanah besar. Walaupun kosnya mahal, itu bukan isunya, pembangunan tetap dilakukan sebagai penghargaan untuk penduduk di pulau ini," katanya Tengku Zaihan yang juga Timbalan Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri.

Pemandu Pelancong Mohd A Hamid, 58, berkata walaupun agak terkilan kerana rumah pangsa mampu milik itu masih belum terlaksana, namun ia tidak sesekali akan menyebabkan penduduk menyokong pembangkang.

Penduduk faham ia berlaku kerana masalah teknikal, masalah yang di luar jangkaan, kesilapan kontraktor yang melaksanakan, katanya.

"Lagipun, dalam puluhan projek pembangunan yang telah dilaksanakan BN di Pulau Perhentian, hanya rumah pangsa itu sahaja yang lewat siap dan kita yakin BN akan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengotakan janji mereka kepada kami," katanya.

Seorang lagi nelayan Abdullah Mokhtar, 46, berkata penduduk Pulau Perhentian telah menerima pelbagai kemudahan infrastruktur daripada BN seperti klinik kesihatan, balai polis, balai bomba, masjid, sekolah serta bekalan air dan elektrik sempurna selama ini.

"Kedatangan pelancong tanpa henti ke pulau ini juga adalah hasil promosi berterusan yang dilakukan BN di mana penduduk menerima manfaatnya melalui bidang ekonomi dan peluang pekerjaan dalam sektor perhotelan dan khidmat bot pelancong.

"Kami akan tetap menyokong BN kerana tidak mahu menggadaikan masa depan anak cucu kami dan yakin lebih banyak pembangunan akan dilaksanakan selepas ini," kata bapa kepada tiga anak itu.

Ketika ini, terdapat 48 buah resort, hotel dan chalet di Pulau Perhentian dengan jumlah kedatangan pelancong seramai 160,000 pada tahun lepas.

Pada PRU-14, DUN Kuala Besut menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Tengku Zaihan, Azbi Salleh (PAS) dan Che Ku Hashim Che Ku Mat (PKR-PPBM).