16
Isn, Jul
49 ARTIKEL BARU

Rafidah, Daim, Rais Tidak Wakili Suara Veteran UMNO - Mustapha

Politik
Typography

KUALA LUMPUR – Kenyataan yang dibuat oleh Tan Sri Rafidah Aziz, Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Dr Rais Yatim bukanlah pendirian yang mewakili Veteran UMNO.

Sebaliknya menurut Setiausaha Agung Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub, ia adalah tindakan yang dibuat atas kapasiti peribadi mereka dan tidak ada kena-mengena dengan organisasi itu.

“Veteran UMNO ingin menegaskan bahawa apa yang dipetik oleh media yang menyebut Rafidah Aziz, Daim Zainudin dan Rais Yatim sebagai 'Veteran UMNO' adalah tidak tepat dan tidak mewakili suara dan tindakan veteran yang mempunyai organisasi tersusun dibawah UMNO.  

“Mereka adalah bekas pemimpin UMNO atau bekas menteri yang bertindak di atas kapasiti mereka dan bukan atas nama veteran walaupun mereka veteran UMNO. Oleh itu apa saja kenyataan dan perbuatan mereka tidak ada kena mengena dengan Veteran UMNO,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, Veteran UMNO amat kesal dengan tindak-tanduk ketiga-tiga individu tersebut yang jelas membuktikan mereka adalah jenis kacang lupakan kulit dan tidak tahu berterima kasih kepada parti dan pucuk pimpinan. 

“Apakah mereka lupa jawatan menteri yang mereka sandang sebelum ini adalah kerana mereka ahli UMNO? Apakah mereka lupa kesenangan yang mereka nikmati sekarang adalah kerana jawatan mereka dalam kerajaan yang mereka perolehi kerana UMMO?

“Apakah yang mereka ada sekarang masih belum cukup sehingga mereka sanggup menggigit tangan tuan yang menyuapkan makanan kepada mereka?” tegasnya.

Menyifatkan mereka sebagai penyokong tegar Tun Dr Mahathir Mohamad, tindak-tanduk ketiga-tiga individu tersebut ujar beliau adalah sesuatu yang memalukan.

Justeru beliau menyeru seluruh ahli Veteran UMNO supaya tidak terpengaruh dengan tindak-tanduk pihak yang mahu merosak dan menghancurkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Veteran tahu Rafidah dan Daim adalah penyokong tegar Mahathir sejak dari dulu. Apakah kerana menjadi penyokong tegar maka mereka turut menyokong usaha Mahathir untuk menumbangkan UMNO/BN dalam PRU14? 

“Di mana kesetiaan mereka kepada parti yang telah menempatkan mereka sebagai menteri sebelum ini? Apakah UMNO/BN seperti tebu yang bila habis manis sepah dibuang? Sesungguhnya perbuatan mereka amat memalukan bangsa Melayu. Mereka yang sepatutnya tampil menyokong kepimpinan sedia ada sanggup menjadi pengkhianat. Oleh itu Veteran UMNO Malaysia menyeru 800,000 ahli veteran diseluruh negara supaya jangan terpengaruh dengan tindak tanduk mereka yang mahu merosak dan menghancurkan UMNO/BN,” katanya.