25
Sel, Sep
110 ARTIKEL BARU

Isu Pertindihan Tanah 767 Peneroka Padang Sanai Selesai – Ahmad Bashah

Politik
Typography

PADANG TERAP – Kesediaan syarikat perladangan, Tradewinds Corridors Sdn Bhd (Tradewinds) untuk menyerahkan tanah seluas kira-kira 1,365 hektar kepada kerajaan negeri telah mengakhiri isu pertindihan tanah yang membelenggu peneroka Padang Sanai di sini yang berlarutan sejak 30 tahun lalu.

Memetik laporan Berita Harian (BH), isu yang membabitkan 767 peneroka itu selesai selepas kerajaan negeri mengadakan perbincangan antara kedua – dua pihak dan dimaklumkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Jelasnya, seramai 767 peneroka tersebut kini boleh membuat permohonan geran di Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap apabila hak milik tanah tanah seluas 1,365 hektar itu dipindahkan kepada kerajaan negeri.

"Hasil perbincangan dengan syarikat perladangan itu, kita sudah mencapai kata sepakat yang mana tanah itu akan diserahkan kepada kerajaan negeri.

"Kita minta mereka (peneroka) memohon geran di Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap, cuma mereka perlulah memenuhi syarat yang tertera supaya prosesnya berjalan lancar," katanya dipetik BH ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama penduduk Padang Terap di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Sanai, di sini, hari ini.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah penyandang yang juga calon kerusi Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pegawai Daerah Padang Terap, Fathullah Suhaimi Ismail.

 

Sementara itu, Ahmad Bashah turut menegaskan bahawa kerajaan negeri terpaksa menyerahkan satu kawasan tanah simpanan di Bukit Keramat, di sini, kepada syarikat perladangan itu sebagai ganti seperti perbincangan terbabit.