26
Rab, Sep
101 ARTIKEL BARU

PRU14: Peluang BN Bersih Maruah - Zahid

Politik
Typography

MUAR - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kali ini adalah peluang terbaik untuk Barisan Nasional (BN) 'membasuh muka' serta membersihkan maruah setelah mengharungi prestasi kurang memberangsangkan pada dua pilihan raya yang lepas.

Beliau berkata pada pilihan raya sebelum ini, BN telah terlalu selesa akibat kemenangan besar pada pilihan raya sebelumnya (PRU11) menyebabkan mereka lambat sedar untuk melakukan yang terbaik.

"Kita telah terasak ke dinding sebanyak dua kali. PRU12 kita amat selesa kerana menang besar. PRU13 kita terduduk dan terasak ke dinding...kita lambat bangkit dan sedar.

"Sekarang ini, kita hendak bangkit kerana PRU14 adalah peluang yang paling baik untuk kita membasuh muka dan membersihkan maruah kita semula," katanya kepada kira-kira 1,500 jentera BN Muar pada satu Majlis Himpunan di Bangunan UMNO Muar di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata justeru itu, beliau berharap jentera BN termasuk di Muar akan dapat memberikan kemenangan kepada calon-calon parti kali ini dengan memanfaatkan sepenuhnya tempoh kempen yang hanya berbaki 18 jam lagi untuk menyakinkan pengundi serta melakukan gerak kerja yang sepatutnya.

"Kita jaga diri kita sebab rakyat tahu yang terbaik adalah Barisan Nasional. Kita tinggal 18 jam dari sekarang hingga esok...jangan menang sorak kampung tergadai. Jangan sibuk suruh orang keluar tetapi kita sendiri lupa mengundi," katanya yang juga merupakan Timbalan Pengerusi BN.

Dalam masa sama, Menteri Dalam Negeri itu juga mahu BN memenangi semula kerusi DUN Maharani yang jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan lalu, selain mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Muar dan DUN Sungai Balang dengan majoriti lebih tinggi.

"Apa pun analisis yang dilakukan, apapun andaian daripada pihak luar, apa pun juga jangkaan yang mereka (pembangkang) lakukan, saya lihat ketiga-tiga calon ditampilkan di Muar ini luar biasa.

"...dan saya amat yakin inilah nadi kemenangan," katanya.

Sementara itu, dalam sidang media kemudiannya, Ahmad Zahid menegaskan beliau percaya pembangkang merancang 'sesuatu' yang besar pada malam ini, menjelang hari pengundian.

Katanya, ia dibuat demi mempengaruhi undi, namun begitu beliau berharap rakyat tidak akan terjerumus dengan taktik itu sebaliknya membuat penilaian mereka berasaskan 22 pendekatan atau perkara yang diinisiatifkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sebelum ini tidak pernah dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pendekatan itu antara ialah tidak mengenakan bayaran tol di beberapa lebuhraya iaitu Lebuhraya Pan Borneo, Lebuhraya Kuala Lumpur-Kelantan melalui Merapoh dan Lebuh Raya Bertingkat Rawang serta memberi subsidi untuk tambang MRT.

Selain itu, kerajaan dipimpin Perdana Menteri turut menghapuskan yuran sekolah dan menyediakan pelajar dengan buku teks sekolah percuma.

Semua pendekatan ini berbeza dengan zaman Dr Mahathir apabila beliau menaikkan bayaran tol lima peratus setiap tahun; melaksanakan yuran sekolah serta hanya akan memberikan buku teks sekolah jika bersesuaian dengan pendapatan keluarga pelajar.

Turut hadir pada majlis itu ialah calon BN di kerusi Parlimen Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim; calon BN bagi DUN Maharani Datuk Ashari Sarip dan calon DUN Sungai Balang, Zaiton Ismail.

 

-- BERNAMA