25
Sel, Sep
110 ARTIKEL BARU

Ibu Restu Sertai Sebarang Parti, Asalkan Bukan PAN – Anak Bekas MB Kedah

Politik
Typography

JERAI – Anak kepada bekas Menteri Besar Kedah, Ahmad Faiq Azizan hari ini mengumumkan dirinya memilih untuk menyertai parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) atas dasar demokrasi serta menggunakan hak beliau sebagai rakyat yang berhak memilih sebarang parti yang ini disertai.

Jelas anak kepada arwah Tan Sri Azizan Abdul Razak itu, beliau juga telah mendapatkan restu ibu serta isterinya yang memberi sepenuh ruang kepada beliau untuk memilih parti yang ingin disertai selagi ia bukannya parti PAN.

“Ibu saya cakap, saya ada hak untuk memilih, Cuma bukan PAN. Kerana PAN merupakan pihak yang berlawan dengan arwah bapa saya.

“Saya tidak boleh pilih PAN kerana ketika mereka masih dalam PAS, mereka kritik bapa saya dengan teruk sekali. Jadi, ibu saya tidak dapat menerima perkara tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Tambah Ahmad Faiq, beliau tidak dapat menolak kemungkinan beliau dituduh mendapat ‘habuan’ apabila memilih menyertai BN , namun berkata apa yang pasti beliau sudah bertanyakan hal tersebut kepada ibu serta isterinya terlebih dahulu.

“Orang memang akan bercakap, tetapi sekarang ini saya sudah bertanyakan kepada ibu saya terlebih dahulu. Kemudian, saya bertanya kepada isteri saya. Tiada halangan, kemudian saya pun masuk (BN).

 “Kalau DAP datang dahulu, mungkin saya masuk DAP, tetapi hanya Barisan Nasional (BN) yang datang dengan cara elok, jadi saya pilih BN,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ahmad Faiq juga menegaskan bahawa apa yang dilakukan neliau hanyalah berdasarkan hak beliau sebagai seorang pemilih.

“Kita negara demokrasi, saya ada hak untuk memilih dan saya gunakan hak saya untuk memilih. Itu sahaja. 

“Saya ada otak, dan saya boleh berfikir. Saya tengok yang terbaik adalah BN, dan saya pilih BN. 

“Sebelum ini saya pernah bersama ahli PAS dan melakukan beberapa perkara, termasuk PAN serta saya juga pernah bergaul bersama ahli PKR. 

“Bila saya sudah bercampur dengan mereka semua, saya nampak dengan jelas, sekiranya saya mahu membantu rakyat, memang saya kena melalui BN,” ujarnya.