16
Kha, Ogs
56 ARTIKEL BARU

Pakatan Harapan Bersedia Hadapi PRK DUN Rantau

Politik
Typography

SEREMBAN – Satu Pilihan Raya Kecil (PRK) dijangka akan berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau sekiranya petisyen yang difailkan oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr S Streram berjaya.

Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, jika mahkamah memutuskan menerima permohonan itu, kerajaan negeri dan juga parti telah bersedia sekiranya ada PRK.

Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada keputusan mahkamah.

“Sekiranya mahkamah menerima petisyen itu, pilihan raya akan diadakan di DUN Rantau, dan kami telah bersedia. Saya difahamkan bahawa Dr (Steram) telah memfailkan perkara tersebut.

“Kami yakin bahawa PKR akan berjaya merampas kerusi berkenaan daripada bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan,” katanya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan.

Terdahulu, pada 28 April lalu, Steram tidak dibenarkan memasuki pusat penamaan calon bagi menyerahkan borang kerana tidak memiliki pas yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan itu, Mohamad yang juga penyandang DUN Rantau telah diisytiharkan menang tanpa bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).