14
Sel, Ogs
53 ARTIKEL BARU

PM Gesa Penjawat Awam Bantu Pulihkan Negara

Politik
Typography

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meminta agar kakitangan kerajaan membantu pentadbirannya bagi memulihkan kembali Malaysia.

Memetik laporan media tempatan, beliau berkata ia merupakan satu perjuangan agar negara dapat kembali ditadbir dengan baik dan berjaya dalam pembangunan serta dikenali sebagai negara yang mampu mendirikan diri sendiri atas usaha sendiri.

“Dulu negara kita dihormati, tetapi sekarang sudah tidak dihormati seperti dulu.

“Menjadi tugas kita semua untuk memulihkan negara supaya kembali dipandang tinggi dan dihormati di seluruh dunia. Pentadbir menjadi tangan yang terkuat dalam melaksanakan segala urusan untuk membangunkan negara.

“Beberapa tahun lepas, pentadbir tak berkuasa menegur atau menentang, mungkin kerana takut, mungkin kerana disogok, mereka telah melakukan perbuatan tidak baik yang merugikan negara,” tambahnya,” katanya dalam ucapan kepada kakitangan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Justeru, jelas beliau, kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan melaksanakan beberapa perubahan dalam sistem pentadbiran negara.

“Tetapi kerajaan hanya akan lakukan perubahan hanya selepas kajian yang mendalam. Saya tidak dapat terangkan apa perubahan-perubahan ini, kerana kita masih tiada maklumat yang cukup,” kata beliau.

Tun Dr Mahathir, dalam pada itu sekali lagi mengingatkan, kedaulatan undang-undang akan masih menjadi tunjang pentadbirannya, di mana penjawat awam yang didapati menyalah guna kedudukan mereka sebelum ini akan berdepan tindakan undang-undang.

“Kita kena ingat, yang salah adalah salah. Yang salah mesti dihukum oleh undang-undang negara. Hanya dengan cara itu boleh kita bersihkan pentadbiran kita.

“Dengan pentadbiran bersih, maka pulihlah negara kita,” katanya.