14
Sel, Ogs
53 ARTIKEL BARU

Zahid Nafi Dakwaan Ditemui Mohd Shukri Minta Desak Najib Berundur

Politik
Typography

KUALA LUMPUR - Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Shukri Abdull pernah berjumpanya dalam usaha mendesak Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan selaku perdana menteri berikutan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Ia di luar maklumat saya. Tidak ada (pertemuan)," kata bekas timbalan perdana menteri itu kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan UMNO di ibu pejabat parti hari ini.

Ahmad Zahid diminta mengulas pendedahan Mohd Shukri dalam satu sidang akhbar hari ini bahawa SPRM ada menemui jemaah menteri ketika itu berhubung skandal 1MDB yang didakwa melibatkan Najib.

Ahmad Zahid yang kini menjalankan tugas presiden parti, kemudian turut bertanyakan soalan tersebut kepada Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang hanya menjawab 'tidak' sambil menggeleng kepala.

Mohd Shukri dalam sidang media itu berkata daripada kesemua menteri yang ditemui pihaknya, hanya tiga berani bersuara iaitu bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.