18
Ahd, Nov
46 ARTIKEL BARU

Tak mampu galas tugas, ADUN Pilah digesa letak jawatan

Politik
Typography

Tahap kesihatan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah Mohamad Nazaruddin Sabtu dikatakan lebih buruk daripada yang digambarkan ahli keluarganya.

Malah bekas pegawai khas beliau yang dipecat pada 31 Ogos lalu, Hazman Hashim mendakwa segala urusan DUN kini diambil alih keluarga Mohamad Nazaruddin selepas ADUN berkenaan tidak mampu menggalas tugas diamanahkan.

“Apabila timbul masalah kesihatan, sepatutnya pihak keluarga jaga kesihatan dan cuba pulihkan dia sahaja, manakala hal khidmat masyarakat (biarlah) orang parti yang selenggarakan.

“Sekarang ini tidak (berlaku seperti itu), isteri dan anak-anak serta kaum keluarga dia yang uruskan (hal ehwal DUN),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Menurut Hazman, rundingan cuba diusahakan oleh PKR cabang Kuala Pilah dengan pihak keluarga Mohamad Zaharuddin bagi menyelesaikan kemelut itu, namun ditolak mentah-mentah.

Justeru Hazman berkata akar umbi PKR di DUN berkenaan menggesa Mohamad Nazaruddin berundur agar urusan pentadbiran kawasan itu dapat dikembalikan kepada parti.

Hazman mendakwa kebimbangan sama turut dikongsi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pilah, Ahli Jawatankuasa Angkatan Muda Keadilan (AMK),  AJK Wanita Cabang dan Cabang Kuala Pilah sendiri.

“Sekarang pun kita tengah kumpulkan semua pengerusi ketua kampung, dan majoritinya setuju supaya YB meletakkan jawatan. Cabang (Pilah), AMK dan (AJK) Wanita pun dah bagi pengakuan bersama-sama dengan kita,” katanya lagi.

'Kesihatan merosot sejak Aidilfitri'

Mengulas lanjut, Hazman mendakwa keadaan kesihatan Mohamad Nazaruddin mula merosot selepas Aidilfitri lalu sehingga tidak mampu memberikan perkhidmatan kepada masyarakat di kawasan itu.

“Kalau kita tengok daripada zahir gambar yang diambil, memang nampak dia macam orang sihat, tetapi cuba kita berbual atau berbincang dengannya. Bagi saya, dia masih belum boleh berfikir secara waras lagi,” tambahnya.

Mohamad Nazaruddin yang juga merupakan exco kesenian, kebudayaan dan adat istiadat Melayu Negeri Sembilan sebelum ini dilapor sakit apabila lama tidak kelihatan di khalayak ramai sehingga timbul desas-desus beliau bersara daripada politik.

Usaha untuk menghubungi Mohamad Nazaruddin telah dilakukan beberapa kali namun tidak berhasil.