24
Jum, Nov
955 ARTIKEL BARU

Malaysia Cadang Isu Rohingya Dibincang di PBB

Dunia
Typography

KEPALA BATAS - Isu penindasan masyarakat minoriti Islam Rohingya di Rakhine, Myanmar perlu segera dibawa ke pentas perbincangan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi mencari jalan penyelesaian.

Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Malaysia tidak boleh bertindak sendirian sebaliknya memerlukan kerjasama negara-negara lain bagi bersama-sama membantu menyelesaikan masalah itu.

"Ini adalah isu yang amat penting untuk dilihat oleh seluruh masyarakat dunia dan kita perlu bersatu bagi menghentikan penindasan hak asasi manusia terhadap etnik Rohingya.

"Jadi Malaysia minta negara-negara lain untuk bersama-sama cari jalan penyelesaian segera bagi menghentikan penindasan terhadap masyarakt di Rakhine dan dapat pulihkan keadaan di sana," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Pulau Pinang ke-43 di sini hari ini.

Reezal Merican yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas berkata pendirian Malaysia berhubung isu itu juga adalah jelas iaitu menyokong saranan PBB supaya pihak berkuasa Myanmar mencari jalan penyelesaian yang holistik bagi menangani krisis di Rakhine.

Beliau berkata Malaysia turut menggesa supaya situasi perit yang dihadapi oleh kaum Rohingya dapat diredakan kerana bukan hanya untuk kebaikan mereka malah untuk kebaikan Myanmar dan negara-negara berhampiran.

"Berdasarkan pemerhatian kami, kerajaan Myanmar nampaknya tidak menunjukkan sebarang tindakan untuk menyelesaikan krisis di Rakhine, walaupun telah memberi jaminan untuk mengambil langkah-langkah ke arah penyelesaian masalah itu.

"Malah beberapa negara anggota ASEAN juga telah berulang-kali meminta perkara itu diselesaikan secara aman. Oleh itu, Malaysia percaya keganasan dan diskriminasi yang berterusan terhadap etnik Rohingya perlu dibawa ke forum antarabangsa yang lebih tinggi termasuk di PBB," katanya.

 

- BERNAMA

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.